Curah cuka jika disengat obor-obor

Dr Wendee menunjukkan cara yang perlu dilakukan jika disengat obor-obor dengan mencurahkan cuka di tempat luka.

MELAKA – Memandangkan masyarakat gemar bercuti dan mandi-manda di laut selepas kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberikan oleh kerajaan, seorang doktor menasihati orang ramai supaya tidak menggosok tempat luka atau merendam tubuh ke dalam laut jika disengat obor-obor.

Doktor Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka, Dr Tan Wendee berkata, menggosok tempat disengat obor-obor menggunakan pasir atau merendam tubuh dalam air laut bukan cara betul untuk mengurangkan kesakitan bahkan cara itu mungkin boleh memburukkan keadaan pesakit.

Seperkara lagi katanya, tindakan sesetengah individu menggunakan bahan-bahan seperti kicap, kunyit dan air kencing untuk merawat bisa sengatan obor-obor juga adalah fakta yang salah.

Doktor berkenaan menasihati demikian memandangkan sekarang ini musim obor-obor yang juga dikenali sebagai ampai-ampai dalam kalangan nelayan.

Bercerita lanjut Dr Wendee berkata, misalnya terkena racun obor-obor seperti jenis ‘Australian Spotted Jellyfish’, orang awam hanya perlu menggunakan cuka dan curahkan di tempat yang sakit serta jangan sesekali menggosok tempat luka itu kerana bimbang ia merebak.

Tambah beliau, menyedari sektor pelancongan telah kembali rancak, beliau dan badan bukan kerajaan (NGO) mengambil inisiatif untuk berkongsi maklumat sekiranya orang ramai menghadapi situasi sedemikian ketika mandi di laut.

“Kita telah mendirikan lima papan tanda ‘Awas Obor-obor’ dengan kerjasama Lions Club. Di setiap lokasi itu diletakkan botol cuka supaya individu yang terkena (sengatan obor-obor) dapat bertindak pantas untuk mencurahkan cuka di kawasan sengatan tanpa perlu menggosok kawasan luka itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.

Menurut beliau, individu yang terkena sengatan obor-obor juga boleh merendam tempat yang disengat dengan air panas pada suhu dari 43 hingga 45 darjah celsius selama kira-kira 20 minit bagi mengurangkan kesakitan.

“Tetapi jika keadaan tidak berkurangan dan berlanjutan, segeralah mendapatkan rawatan di hospital,” kata Dr Wendee lagi.

Serangan Obor – Obor

Tambah beliau, walaupun setakat ini pihaknya belum menerima laporan berhubung kes maut disebabkan racun obor-obor,namun sebenarnya ia boleh membawa maut sekiranya berlaku bengkak pada bahagian tekak kerana secara tidak langsung otot pernafasan boleh membengkak serta menutup pernafasan.

“Jika terkena muka atau tangan yang bengkak kita tidak bimbang, namun racun itu berisiko membuatkan tekak membengkak dan mengancam nyawa terutama mereka yang mempunyai alahan.

“Lebih-lebih lagi obor-obor ini mudah ditemui di bahagian tepi pantai yang sering menjadi lokasi kanak-kanak bermandi-manda,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Wendee berkata, purata mereka yang disengat meningkat pada hujung minggu iaitu pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dengan purata kes antara enam dan 10 pesakit sehari diterima oleh jabatan tersebut berbanding hari biasa.

Menurutnya, mereka yang terkena haiwan laut berbisa itu memberi gambaran kesakitan disengat obor-obor adalah antara enam hingga lapan daripada sepuluh, menunjukkan bisa serta kesakitan yang bakal dihadapi oleh individu yang disengat haiwan laut itu.

“Kami bukan mahu menghalang orang ramai bermandi-manda dan berkelah di lokasi pelancongan, namun meminta mereka sentiasa berhati-hati,” katanya ketika program CSR memasang papan tanda amaran di lokasi perkelahan iaitu Pulau Melaka dan Pengkalan Balak.

SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker