Pemimpin ‘kluster mahkamah’ adalah pejuang Umno – Presiden UMNO



Sebaran :

 

PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendakwa terdapat segelintir pemimpin parti itu terpaksa menanggung kesan atas keputusan mereka sebelum ini yang enggan menggadaikan Umno sehingga menyebabkan diri terpalit dengan “kluster mahkamah”.

Zahid berkata, walaupun berdepan pendakwaan di mahkamah, namun pemimpin berkenaan tetap berani dan setia memperjuangkan Umno, walau apapun yang menimpa diri mereka.

“Kerana enggan menggadaikan Umno, pemimpinnya dipropagandakan mahu menyelamatkan diri daripada pendakwaan mahkamah.



“Sedangkan pemimpin Umno ‘kluster mahkamah’ inilah yang berani dan setia memperjuangkan Umno walau apa menimpa mereka,” kata di Facebook.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata demikian selepas wujud desakan supaya beliau meletak jawatan susulan keputusan terbaru Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan PPBM pada pilihan raya umum akan datang.

Tanpa menamakan mana-mana individu atau pemimpin, Zahid turut meminta ahli Umno supaya menilai keadaan dan nasib “katak” yang menurutnya selesa di seberang jalan, serta “burung belatuk” yang kenyang kerana mendapat dedak di belakang rumah.



“Kluster mahkamah” dipercayai merujuk kepada pemimpin Umno yang berdepan beberapa kes di mahkamah.

Antara pemimpin itu ialah bekas presiden Umno Najib Razak yang sebelum ini disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi dalam kes SRC International.

Zahid sendiri turut dituduh di mahkamah selepas dikaitkan dengan jenayah berhubung penyelewengan dana Yayasan Akal Budi.



Manakala, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dan veteran parti itu Shahrir Samad turut didakwa kerana menerima dana daripada Najib sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Zahid berkata, usaha untuk memulihkan Umno selepas dilanda badai fitnah pada PRU14 lalu bukanlah suatu kerja mudah.

Katanya, “musuh” yang ada tidak pernah berhenti untuk menyekat dan melakukan serangan “di bahagian kiri, kanan, depan dan belakang”.



“Musuh nyata sudah pasti. Musuh tidak nyata berselindung dalam kesamaran penuh hasutan. Musuh tahu Umno parti keramat bangsa, agama dan parti terbesar umat Melayu mampu bangkit semula.

“Mereka berusaha gigih untuk menghancurkan Umno ‘once and for all’ sejak dua tahun lalu. Bagaimanapun usaha itu tidak pernah berjaya kerana kedegilan pemimpin dan ahlinya,” katanya.

Secara berkias, Zahid berkata, selepas usaha musuh untuk menamatkan riwayat Umno gagal, musuh pula mahu supaya Umno berada dalam kawalan dengan menggunakan broker bertaraf jurucakap dan mendakwa mereka adalah “penyatu ummah”.



“Ironinya dasar penyatuan ummah perlu berlandaskan kepada kejujuran dan keikhlasan. Bukan untuk menguasai supaya terus berkuasa. Bukan juga untuk kepentingan si polan dan si polan.

“Andai berjaya, jenama Umno boleh dipergunakan. Jutaan ahli Umno boleh di “remote” dan dikudakan.

“Tanpa cabaran pemimpin dan ahli Umno, kedudukan dan kekuasaan mereka lebih selesa dan terjamin,” katanya.

 


Sebaran :


Leave a Reply