Presiden MIC, Presiden MCA Tidak Senada Dengan Pengerusi BN

Susulan pendedahan Presiden MIC SA Vigneswaran yang berkata kenyataan Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa bahawa BN merayu kepada Yang di-Pertuan Agong agar menitahkan supaya sidang parlimen diadakan segera sebagai tidak tepat, hari ini beberapa pemimpin BN tampil mengesahkannya.

“Saya sahkan apa dikatakan oleh Viki (Vigneswaran) adalah betul,” kata Presiden MCA, Wee Ka Siong

Timbalan Presiden PBRS, Arthur Joseph Kurup pula berkata: “Dewan Tertinggi BN tidak setuju berhubung kenyataan media yang dikeluarkan (oleh presiden Umno).”

Terdahulu, kedua-dua pemimpin ini diminta mengulas kenyataan Vigneswaran yang menempelak kenyataan Ahmad Zahid yang berkata BN merayu kepada Yang di-Pertuan Agong agar menitahkan supaya sidang parlimen diadakan segera.

Vigneswaran sebaliknya berkata bahawa mesyuarat BN pada Rabu lalu mengambil ketetapan untuk tidak membuat sebarang andaian berhubung titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai sidang parlimen.

“Saya terkejut dengan kenyataan pengerusi BN. Mesyuarat BN tidak pernah menyokong sebarang keputusan untuk merayu Seri Paduka agar menitahkan mengadakan parlimen dengan segera,” katanya kepada Malaysiakini, pagi tadi.

Bekas speaker Dewan Negara itu berkata demikian ketika diminta menjelaskan spekulasi bahawa mesyuarat BN tidak setuju supaya sesi parlimen diadakan.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata Seri Paduka Baginda boleh menggunakan kuasa wewenang baginda di bawah Seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, yang dibaca bersama Perkara 40 (2) perlembagaan persekutuan.

“BN (juga) mengesyorkan ahli-ahli Dewan Rakyat menyeru perdana menteri serta jemaah menteri untuk menghormati titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya sidang parlimen diadakan dalam kadar segera, apatah lagi setelah pelaksanaan perintah kawalan pergerakan dilonggarkan,” katanya.

Untuk rekod, BN kini mempunyai empat komponen iaitu Umno, MCA, MIC dan PBRS.

Umno juga sebelum ini telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberitahu bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Bersatu pada PRU15.

Kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Muhyiddin sekarang disokong oleh gabungan Muafakat Nasional yang dianggotai oleh BN, termasuk Umno dan PAS. Selain Bersatu, PN juga didukong oleh beberapa parti di Sabah dan Sarawak. MK

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker