Dua lelaki ditangkap ugut serang masjid di Christchurch
Polis New Zealand menahan seorang lelaki berusia 27 tahun susulan mengugut untuk menyerang dua masjid yang menjadi tempat insiden pembunuhan beramai-ramai oleh seorang lelaki kulit putih ‘white supremacist’ dua tahun lalu.
Ugutan dalam talian itu dibuat minggu ini di laman sesawang 4chan terhadap Masjid Al Noor dan Pusat Islam Linwood, yang menjadi sasaran pada 2019 dalam siri penembakan paling mengerikan di New Zealand.
Polis tidak memberi maklumat lanjut mengenai ancaman berkenaan, tetapi media New Zealand melaporkan ancaman itu termasuk meletupkan bom kereta pada 15 Mac – ulang tahun serangan 2019.
Lelaki yang tidak disebutkan namanya itu didakwa mengancam untuk membunuh dan akan muncul di mahkamah pada Jumaat, kata polis.
Sementara itu, individu kedua yang ditahan atas dakwaan sama masih dalam tahanan dan polis berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan tindakan lanjut.
Pada 15 Mac 2019, New Zealand digemparkan dengan dua insiden tembakan besar-besaran di Masjid Al Noor dan Pusat Islam Linwood di Christchurch.
Semenjak itu, New Zealand berwaspada menjelang ulang tahun serangan berkenaan. – Agensi
You must be logged in to post a comment.