Runtuhan struktur besi binaan SUKE: Pemandu treler positif dadah – Polis

KUALA LUMPUR: Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan perancah besi dalam pembinaan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) runtuh, di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) didapati positif dadah.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, pemandu itu akan ditahan reman di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Pemandu treler berusia 40 tahun dan berasal dari Perak itu tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian tersebut dan didapati positif dadah jenis metaphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, pada awal pagi Khamis.
Mengulas lanjut Zulkefly berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah treler yang melalui Lebuhraya MRR2 telah berlanggar kerangka besi pada pembinaan di jejantas pejalan kaki.

“Kejadian itu menyebabkan rusuk keluli bersama dengan perancah besi terjatuh di dua-dua laluan Lebuhraya MRR2 dan telah menghempap van yang bergerak dari laluan Ampang menghala ke TBS.



“Semasa kejadian van dalam perjalanan ke sebuah kilang di USJ 1,” ujarnya.

Kejadian itu turut menyebabkan dua dari empat wanita pekerja kilang meninggal dunia manakala

Dua lagi rakan mereka bersama seorang lelaki yang juga pemandu van mengalami kecederaan.

Tambah Zulkefly, mangsa yang maut antaranya Nurina Edwin Abdullah, 47, Norhayati Abdullah, 42.



“Manakala pemandu van Muhd Fairus Mohd Yusof, 47, patah tulang bahu kiri, bengkak pada paru-paru dan mengalami pendarahan dalam.

“Dua lagi mangsa Zaitun Zainal, 54, cedera pada bahagian kaki sebelah kiri dan seorang lagi mangsa Zakiyyah Yakop, 54, cedera bahagian betis sebelah kiri,” katanya.

Kes berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

[VIDEO] Dua wanita maut, tiga selamat tragedi runtuhan jejambat SUKE -Polis



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker