Penuntut Malaysia kemalangan di Manchester Dis lalu, dibenar keluar hospital

 

KUALA LUMPUR: Lebih dua bulan terlantar akibat kemalangan jalan raya, penuntut Malaysia, Nur Izzah Mohd Shokri, 20, kini kembali ke pangkuan kedua-dua ibu bapanya selepas dibenarkan keluar dari sebuah hospital di Manchester, England.

Kegembiraan itu dikongsi bersama ibu bapanya, Hamidah Wahab dan Mohd Shokri Zainal yang dilihat menunggunya di hospital. Turut sama adalah sekumpulan rakannya dari University of Manchester.

Pelajar tahun satu jurusan Akaun dan Kewangan itu sebelum ini cedera pada kepala dan paru-paru selepas terbabit kemalangan dengan sebuah bas ketika dalam perjalanan ke sebuah kedai.

Sejurus keluar dari bangunan hospital, di Nur Izzah dilihat menjerit kegembiraan apabila melihat ibu bapanya serta rakannya, yang turut membawa sepanduk “Welcome home Izzah sayang.”

Nur Izzah dihantar pulang sendiri oleh Dr Raja Ismahan Syahanee Dato Raja Ibrahim, yang juga seorang doktor pediatrik di bahagian kecemasan di Salford Royal Hospital, yang mana Petronas menaja rawatannya yang kemalangan sejak 28 Disember lalu.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan rasa gembira, keterujaan melihat dia kembali seperti dahulu. Kuasa Allah tiada siapa yang tahu,” kata ibunya, Hamidah.

Sebelum ini, dia mengalami kecederaan parah khususnya di otak dan paru-paru, malah peluang kembali pulih bagi Nur Izzah ketika itu hanyalah 50-50.

Dia kemudian diletakkan dalam keadaan koma selepas pembedahan kecemasan untuk membuang tekanan di bahagian otaknya.

Hamidah yang berkhidmat di Sekolah Komuniti Bentong, Pahang bersama suaminya, Mohd Shokri berlepas ke London pada 30 Disember lalu apabila menerima berita mengenai kemalangan itu dan sejak itu, mereka tinggal di kediamannya anaknya.

Mereka hanya dibenarkan untuk melawat Nur Izzah di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari sama ketibaan di bumi asing itu, namun ketika itu anak perempuan mereka masih tidak sedarkan diri.

Selepas itu, mereka hanya berkomunikasi menggunakan FaceTime apabila anaknya sedar dari koma.

Nur Izzah kemudian dipindahkan ke Unit Penilaian Trauma di Salford Royal Hospital selepas pembedahannya dan terbaru di wad pemulihan sebelum dibenarkan keluar hospital.

Dr Syahanee, yang menjadi doktor Malaysia yang sering memantaunya di hospital itu berkata, proses penyembuhan Nur Izzah menakjubkan.

“Nur Izzah adalah seorang gadis yang bersemangat, malah melakukan yang terbaik atas apa yang ditinggalkannya,” katanya yang merujuk kepada keinginan gadis itu untuk kembali menyambung pengajiannya.

Beliau berkata, Nur Izzah akan menjalani rawatan pemulihan di rumah termasuk sesi fisioterapi bagi menumpukan kepada fungsi kognitif dalam membantu memori jangka pendeknya.

Nur Izzah sebelum ini berada di ICU selama tiga minggu dan melalui tiga pembedahan untuk pulih.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker