Pasar malam boleh buka tak guna ‘Sains dan Data’, Parlimen tak boleh bersidang – Najib

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan tindakan kerajaan menggunakan sains dan data sebagai alasan untuk tidak mengadakan sidang Dewan Rakyat ketika tempoh darurat sehingga 1 Ogos nanti.

Ahli Parlimen Pekan itu dalam catatan di Facebook berkata, sains dan data itu seolah-olah mendakwa bersidang dalam Dewan Rakyat lebih berbahaya berbanding banyak aktiviti lain yang dibenarkan kerajaan.

Beliau memberi contoh menonton wayang dalam pawagam, sekolah dibuka semula dan pasar malam dibenarkan beroperasi, selain “membuat mesyuarat persediaan PRU di hotel” atau majlis untuk menerima akuan bersumpah Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata, Jemaah Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong tidak mengadakan sidang Parlimen ketika tempoh darurat sehingga 1 Ogos nanti.

Beliau berkata, kenyataan Istana Negara sebelum ini bertujuan menjelaskan Kabinet akan menasihatkan Agong bila Parlimen boleh bersidang.

“Jadi di sini, Kabinet apabila membuat nasihat, kenapa kita menangguhkan bukannya menggantung persidangan Parlimen kerana banyak alasan.

“Ada alasan perundangan dan ada alasan dari segi sains dan data. Kita boleh tangguhkan dahulu persidangan Parlimen,” kata beliau.

Sebelum ini, Istana Negara memaklumkan Agong berpandangan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat, pada suatu tarikh difikirkan sesuai olehnya atas nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, keputusan Agong itu dibuat selepas menerima menghadap Presiden Dewan Negara Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun di Istana Negara pada 24 Feb lalu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz percaya punca kerajaan tidak mahu mengadakan sidang Parlimen kerana tidak mempunyai sokongan mencukupi.

“Saya percaya kerajaan mempunyai alasan politik tidak mahu Parlimen bersidang kerana mereka tidak stabil. Tetapi buat masa ini, kita tidak boleh mengadakan pilihan raya juga.

“Mereka (PN) tidak boleh lari daripada pilihan raya selepas darurat tamat pada Ogos. Mereka tidak boleh lari daripada Umno. Mereka perlu berdepan kami.”

Nazri bagaimanapun berkata, usaha memerangi Covid-19 belum berakhir dan kerajaan perlu dibenarkan memberi tumpuan untuk melawan pandemik itu.

“Ada perkara yang kerajaan perlu buat, jika kita mengadakan sidang Parlimen, ia mungkin memakan masa sedikit. Saya hanya bersikap praktikal.”

Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim menyifatkan pengumuman Takiyuddin itu sebagai keputusan yang salah dan memberikan gambaran tidak baik terhadap kerajaan.

Beliau berharap keputusan itu akan mengundang bantahan yang “sekeras-kerasnya.”

Katanya, jika kerajaan PN mempunyai sokongan mencukupi di Dewan Rakyat, tiada pihak yang mampu menjatuhkannya.

“Jadi, kenapa anda begitu takut untuk mengadakan sidang (Dewan Rakyat)?

“Ia tidak masuk akal,” katanya kepada FMT.

Katanya, ia juga akan menjadi petanda buruk untuk negara, jika kerajaan tidak mematuhi undang-undang, khasnya perlembagaan.

“Satu hari nanti, kita akan kata kita tidak perlukan pilihan raya juga. Kemudian apa yang akan berlaku?” soalnya.

Zahid: Tiada lagi negeri PKP, bila parlimen boleh bersidang?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker