Pejabat ADUN Seremban Jaya nyaris dijilat api



Sebaran :

Sebuah premis yang menempatkan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaran nyaris dijilat api apabila premis rumah kedai yang terletak bersebelahan pejabat berkenaan musnah dalam kebakaran pagi tadi.

ADUN daripada DAP itu berkata, walaupun kebakaran memusnahkan keseluruhan tingkat atas premis bersebelahan namun pejabatnya tidak mengalami sebarang kerosakan cuma terdapat kesan hitam akibat kebakaran di dinding.

“Kebakaran berlaku pagi tadi, saya tidak putus-putus terima panggilan daripada penduduk yang memaklumkan kejadian tersebut.



“Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada pihak bomba yang bertindak cepat memadamkan kebakaran jika tidak tentunya ia akan merebak ke premis lain termasuk pejabat saya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Senawang, Azizee Alias berkata, kebakaran tersebut memusnahkan 100 peratus tingkat atas sebuah rumah kedai dua tingkat yang terletak di Jalan SJ 3/6B, Taman Seremban Jaya dekat sini.

Jelas Azizeem pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.45 pagi dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.



“Kebakaran melibatkan bangunan tingkat atas yang dipercayai merupakan sebuah lokasi rumah kongsi warga asing. Di tingkat bawah pula merupakan sebuah kedai kasut, tetapi tidak terbakar.

“Ketika kejadian penghuni tingkat atas berkenaan dikatakan sudah keluar bekerja. Tiada mangsa yang dilaporkan terlibat, bagaimanapun, siasatan awal kebakaran masih dijalankan,” katanya.-K!ONLINE


Sebaran :


Leave a Reply