Kayu lama dan buruk ‘nadi’ rezeki Abe G

PASIR MAS: Kayu terbuang malah yang hanyut di sungai, bukanlah bahan yang menjadi pilihan utama kepada kebanyakan tukang perabot mahupun pengukir arca untuk menghasilkan produk berkualiti serta menjualnya di pasaran.

Namun, berbeza bagi seorang pengusaha perabot eksklusif, Mohd Zalizi Mustapha, 55, atau mesra dipanggil Abe G, yang mempunyai perspektif lain terhadap nilai estetika kayu lama dan buruk itu sehingga mendorongnya untuk menjana sumber pendapatan melalui pembuatan perabot dan arca daripada bahan tersebut.

“Kayu terbuang itu adalah kayu buruk yang masih ada teras, manakala kayu hanyut itu adalah kayu hakisan sungai. Kedua-dua jenis kayu ini sebenarnya mempunyai keunikan tersendiri bagi saya.



“Apabila saya melihat setiap jenis kayu hanyut dan terbuang ini, saya akan mendapat ilham baharu untuk membuat arca serta menghasilkan perabot seperti meja dan kerusi dengan ukiran seni yang eksklusif,” katanya kepada Bernama, di kedainya di G Landskap di sini, baru-baru ini.

Mula menceburi bidang itu sejak empat tahun lepas, Mohd Zalizi meluahkan beliau tidak menyangka minatnya dalam menghasilkan perabot dan arca daripada kayu terbuang serta hanyut itu mendapat perhatian orang ramai terutamanya mereka yang menggemari produk menggunakan bahan lama atau kitar semula.

“Secara purata, dalam satu hari saya perlu siapkan dua tempahan khas daripada pelanggan yang menginginkan reka bentuk dan corak eksklusif pada perabot atau arca bagi perhiasan rumah mereka malah ada juga saya terima tempahan untuk membuat barang perhiasan untuk akuarium ikan,” katanya.

Ujarnya lagi, perabot yang menggunakan elemen kayu terbuang seperti tembesu, kemuning hitam dan cengal merupakan pilihan utama golongan elit kerana setiap jenis kayu itu mempunyai kecantikan tersendiri manakala arca yang diperbuat daripada tembesu pula menjadi produk paling laris di kedainya.

“Permintaan terhadap perabot seperti meja makan yang ditempah khas, kebiasaannya dijual pada harga RM1,700 sahaja satu set, manakala bagi arca pula dijual antara RM35 hingga RM500 iaitu arca rak yang diletakkan piring,” katanya sambil memberitahu kebanyakan kayu terbuang dan hanyut yang diperolehnya dibeli daripada penduduk sekitar.



“Malah, ada juga sebilangan stok kayu terbuang dan kayu hanyut yang saya kumpul sendiri dengan mencarinya di hutan berdekatan, sekiranya saya ada kelapangan untuk mencarinya,” katanya yang pernah bekerja dalam bidang landskap selama lebih 10 tahun.

Bercerita lanjut, beliau berkata bagi mendapatkan hasil kualiti sama seperti kayu baharu, kayu terbuang dan hanyut itu terlebih dahulu akan digosok untuk membina ‘air kayu’ atau ira kayu iaitu keunikan kayu yang terbentuk daripada hakisan membentuk jalur dan beralun, tujuan ia digosok untuk mengelak kerosakan menggunakan kaedah memberus secara menegak.

“Kemudian reka bentuk dicipta dan kayu itu juga dibersihkan menggunakan semburan air tekanan tinggi (water jet) dan dijemur sehingga kering, seterusnya dicanai dan dibentuk menjadi sesuatu produk sama ada perabot, arca dan sebagainya. Namun, kebanyakan pelanggan lebih gemar kepada bentuk air kayu semula jadi dan jarang ada yang ingin perabot dan arca yang dibeli itu disapu varnis untuk kelihatan baharu.

“Ini kerana walaupun hasil daripada kayu ini kelihatan buruk pada pandangan biasa, tetapi ia sangat berharga bagi mereka yang tahu menilai seni kerana setiap bentuk mempunyai maksud tersendiri mengikut ketelitian mata masing-masing,” katanya.



Sejujurnya, beliau bersyukur kerana dikurniakan anugerah dan ilham mencipta kesenian daripada sumber semula jadi kayu digarap menjadi bentuk yang digemari peminatnya.

“Saya berusaha memenuhi kehendak pelanggan dengan menyegerakan tempahan kerana saya tahu mereka tidak sabar untuk melihat hasil siap dan merasai kepuasan daripada minat atau hobi mereka menggunakan sumber kayu-kayan.

“Kebanyakan pelanggan juga adalah mereka yang bakal menduduki rumah baharu dengan menjadikan sentuhan kayu asli sebagai elemen tradisional dicampur dengan tata hias minimalis untuk kediaman mereka,” katanya.

Beliau berkata apa yang menggembirakan beliau ialah apabila pelanggan berpuas hati dan ceria melihat hasil akhir sesuatu produk, Mohd Zalizi akui usaha itu turut memberikan kegembiraan kepadanya juga sebagai tukang kayu.



— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker