Solidariti elak UMNO berpecah
HANYA dengan solidariti dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO akan membolehkan parti itu bangkit semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15.Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perpecahan tidak membawa sebarang kebaikan dan akan merugikan parti tersebut.
“Akhirnya kita menjadi kumpulan-kumpulan yang tidak menentu. Kalau kata begitu atau begini, maka jadilah tiga puak atau empat puak dan akhirnya yang rugi UMNO. Mesti ada solidariti, mesti ada kekuatan, baru boleh kita pergi berperang, katanya.
Ikuti kupasan beliau dalam Wawancara Sinar Ahad bersama Penolong Pengarang Pengisian Berita, Junhairi Alyasa dan wartawan, Khairil Anwar Mohd Amin dan Liza Mokhtar.
SINAR AHAD: Bagaimana Datuk Seri melihat peranan TNB sepanjang pandemik Covid-19 melanda Malaysia?
MAHDZIR: Saya menjadi Pengerusi TNB pada masa Covid-19 sudah bermula. Salah satu masalah yang timbul ialah kita tidak dapat membuat bacaan bil elektrik selama tiga bulan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi penyelesaian yang kita buat itu ialah memberikan diskaun sampai Mac 2021.
Yang keduanya, kita mencari cara untuk membantu golongan berpendapatan rendah. Akhirnya kita buat keputusan untuk peruntukkan wang hampir RM1 bilion. Kita beri elektrik percuma kepada mereka yang guna elektrik bawah RM80 sebulan.
Banyak cabaran yang TNB lalui. Apabila PKP pertama dilaksanakan, pendapatan TNB menurun disebabkan banyak kilang, restoran dan hotel terpaksa ditutup. Kemudian, pertumbuhan TNB jadi seperti V-shape, ia turun mendadak dan naik semula tetapi terganggu akibat PKP Bersyarat. Bagaimanapun, pengurusan tertinggi TNB telah melakukan terbaik menyusun semula strategi untuk memastikan TNB dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
Program imunisasi besar-besaran sudah bermula. Apakah peranan TNB memandangkan vaksin Covid-19 Pfizer perlu disimpan di dalam peti sejuk bersuhu sehingga -70 darjah Celsius?
Tiga minggu lalu, saya ada mesyuarat dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba berhubung perkara ini. Vaksin ini perlu disimpan dalam suhu yang amat sejuk, jadi saya bawa pasukan TNB berjumpa dengan Dr Adham kerana beliau mahu memastikan bekalan elektrik di pusat-pusat penyimpanan vaksin ini terjamin. Sebenarnya, pengurusan tertinggi TNB sudah ada perancangan bagi memastikan bekalan yang berterusan dan tiada sebarang gangguan.
Program vaksin ini memberi harapan pemulihan semula ekonomi negara. Sekarang kita berada di persimpangan antara kesihatan dan ekonomi. Hendak ‘total lockdown’ pun tidak boleh kerana ekonomi akan terjejas. Kalau tidak buat PKP langsung, akan menyebabkan krisis kesihatan.
Mahdzir ketika diwawancara Sinar Ahad di Bangsar, Kuala Lumpur.
Mahdzir ketika diwawancara Sinar Ahad di Bangsar, Kuala Lumpur.
Bagaimana Tan Sri melihat TNB pada masa depan?
TNB adalah sebuah induk industri utiliti kerajaan yang berasaskan tenaga. Maknanya kita hasilkan tenaga, kemudian jual tenaga kepada rakyat dan industri. TNB mengendalikan 9.4 juta akaun. Dalam tujuh juta penduduk, 2.4 juta adalah komersial seperti industri perhotelan dan perkilangan. Jadi TNB fungsinya adalah menjamin bekalan elektrik yang berkualiti dan sempurna untuk rakyat secara berterusan. Kalau dulu ada 10 gangguan elektrik, sekarang jadi tiga gangguan elektrik, itu maknanya baik.
Namun untuk masa depan TNB ini, ada cabaran yang paling besar. Bagi negara-negara membangun seperti Malaysia, kita merupakan ahli protokol peringkat antarabangsa iaitu Protokol Paris. Ia mengenai perubahan iklim dunia dan mereka mahu tahu apa yang Malaysia lakukan untuk tempoh beberapa tahun akan datang.
Arang batu dan gas dianggap sebagai bahan fosil yang dianggap boleh mendatangkan pencemaran. Jadi dalam Protokol Paris, mereka mahu dalam tempoh 10 tahun akan datang ia dapat dikurangkan dan beralih kepada tenaga yang boleh diperbaharui.
Jadi TNB akan terkesan, kerana kita banyak menggunakan pakai arang batu dan gas. Ini cabaran untuk kita beralih kepada tenaga yang boleh diperbaharui seperti penggunaan solar dan hidro.
Hubungan UMNO dengan Bersatu kelihatan kurang baik. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara itu dalam kalangan ahli-ahli Parlimen UMNO?
Ketika ini agak rencam, semua orang menyatakan pendapat hingga menimbulkan kekeliruan. Kita tak boleh menghalang orang lain menyatakan pendapat. Tidak ada masalah jika ramai yang bercakap soal furuk, tapi perkara usul mestilah datang daripada pihak berautoriti bagi mengelakkan salah faham dan keresahan ramai, selain merosakkan imej parti.
UMNO tidak pernah mengatakan ahli-ahli Parlimennya tidak boleh bersama kerajaan kerana ada antara mereka mempunyai jawatan dalam kerajaan PN. Kemudian dalam PN itu ada daripada UMNO, Pas dan Gabungan Parti Sarawak serta rakan-rakan dari Sabah. Jadi maknanya UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan yang ditubuhkan sejak Februari 2020 dan mereka kekal sampai hari ini.
Mahdzir berkata, perpecahan tidak membawa sebarang kebaikan dan akan merugikan parti tersebut.
Mahdzir berkata, perpecahan tidak membawa sebarang kebaikan dan akan merugikan parti tersebut.
Datuk Seri ada menyebut UMNO perlu berdiri dengan kaki sendiri. Apakah maksudnya?
Salah satu perkara paling penting sekarang adalah kesedaran solidariti. Solidariti ahli-ahli UMNO di semua peringkat, daripada cawangan ke peringkat bahagian ke peringkat negeri dan ke peringkat nasional.
Pada tahun 2018 semasa Pilihan Raya Umum ke-14, kita sudah kalah. Sekarang kalau mahu kembali menang, yang pertama kekuatan itu perlu datang daripada solidariti yang kuat dalam kalangan ahli UMNO dahulu. Tidak boleh berpecah belah kerana dinamika politik ini ada bermacam-macam fikiran. Akhirnya kita menjadi kumpulan-kumpulan yang tidak menentu. Kalau kata begitu atau begini, maka jadilah tiga puak atau empat puak dan akhirnya yang rugi UMNO. Mesti ada solidariti, mesti ada kekuatan, baru boleh kita pergi berperang.
Sudah tentu UMNO sebuah parti demokrasi. Semua orang boleh beri pandangan yang bermacam-macam. Ada yang ekstrem A, ada yang ekstrem B, ada yang tengah-tengah C, ada lagi setengah dibuat satu kelompok jadi D. Jadi ada A,B,C,D. Akhirnya ahli tanya, ‘kau nak ikut siapa? ‘aku nak ikut siapa sampai A,B,C,D? Yang itu kita panggil sebagai dinamik politik. Walaupun ada banyak pandangan, kita mesti bersatu atas nama UMNO.
Bagaimana mahu menyatukan ahli-ahli UMNO sedangkan pada tahun ini akan diadakan Persidangan Agung UMNO dan juga pemilihan parti?
Kita harus rasional, mahu mengadakan pilihan raya atau pemilihan parti. Buat pemilihan pun boleh, lepas pemilihan buat pilihan raya. Jadi kita harus ada pemikiran kritikal sama ada mahu tunggu pilihan raya dahulu, kemudian pemilihan parti.
Soal mengenai pilihan raya dan keputusan bila pilihan raya nak dibuat terletak di bawah kuasa penuh Perdana Menteri.
Bagi saya, kita perlu melihat sejarah perpecahan yang pernah berlaku ketika pemilihan UMNO, pada tahun 1987 misalnya pertembungan Tun Dr. Mahathir dan Ku Li hingga tertubuh parti pecahan baru iaitu Semangat 46 dan UMNO kemudiannya melalui episod diharamkan.
Jadi itu semua kita kena ambil iktibar, tapi UMNO masih kekal utuh dan solidariti masih ada walaupun banyak cabaran serta persaingan ketika pemilihan. Ianya mungkin akan mengambil sedikit masa untuk pulihkan solidariti yang mungkin berkurang ketika pemilihan parti.
Buat masa ini, Persidangan Agung UMNO 2020 masih belum dilaksanakan, kerana kekangan pandemik Covid-19, jadi apa-apa pun tunggu Perhimpunan Agung UMNO 2020 berlangsung dahulu, kemudian barulah kita sembang pasal pemilihan parti. Pada saya lebih baik mengadakan pilihan raya dahulu baru adakan pemilihan parti.
Sesetengah pemimpin UMNO mengeluarkan kenyataan demi kenyataan kononnya ia daripada akar umbi. Apakah pandangan Datuk Seri?
Yang pertama, pemimpin itu kena melihat diri sendiri sebelum bercakap. ‘Kamu buat kenyataan ini atas apa? Kenapa kamu buat kenyataan ini? Katalah kata kamu buat kenyataan ikut kumpulan saya, orang nampak ia datang daripada si A sebab dia daripada kumpulan X. Kemudian esok datang kenyataan si B daripada kumpulan Y, ini tidak cantik.
Sepatutnya kenyataan parti hanya datang daripada Presiden dan Setiausaha Agung. Banyak jurucakap dalam parti boleh mengelirukan.
Saya tidak mengatakan tidak boleh bercakap. Orang awam di luar bukan semua ahli parti, orang akan tengok kita. Pada saya, harus ada kebijaksanaan dalam bermain politik termasuklah kata-kata kita dalam tulisan atau ucapan. Tetapi kalau hari ini hentam presiden, esok hentam timbalan presiden kemudian hentam orang lain pula, orang akan kata, apa parti ini? Jaga kelakuan dan jadilah orang yang bertanggungjawab, ini maksud saya.
Pada pandangan Datuk Seri, masih adakah peluang untuk kerajaan penyatuan parti Melayu dan Islam iaitu MN dan PN dipertahankan?
Kalau kita lihat daripada keseluruhan hasrat dan niat kerajaan, parti-parti yang ingin menubuhkan kerajaan ini sebenarnya telah terjawab apabila PH yang bertahan 22 bulan itu gagal. Apabila diumumkan kerajaan baharu ini, sebenarnya tiada pun orang mengadakan demonstrasi di jalan raya menentang kerajaan. Maknanya PN diterima. Perjalanan kerajaan ini berasaskan kepada bagaimana mereka mengkaji semula sedikit sebanyak polisi yang dibuat oleh Pakatan Harapan dan memasukkan elemen baharu dalam kerajaan.
Tetapi gabungan ini nampaknya tidak begitu kukuh. Ada kecacatan yang perlu diperbaiki. Ada perkara yang boleh dibincangkan. ‘Ada benda yang aku terbuku, awak terbuku, kamu pun terbuku’. Semua parti yang ada itu, ada benda yang tersimpan (dalam hati).
Jadi kadang-kadang penyokong menyuarakan pandangan tetapi di atas meja ia tidak selesai. Penyokong A bercakap, penyokong B bercakap, penyokong C bercakap. Ini perkara-perkara di mana kepimpinan boleh memainkan peranan untuk menangani urusan yang tidak selesai.
Apa harapan Datuk Seri kepada Pas?
Harapan pada Pas tetap ada. Sepertimana juga Pas berharap pada UMNO atas kepentingan bersama bagi mengukuhkan kerjasama politik Melayu Islam tanpa mengetepikan kaum lain di negara ini.
Pokok yang rendang akan menjadi tempat orang berteduh begitulah jika kaum Melayu Islam bersatu dan kuat kaum-kaum lain akan sejahtera berteduh di bawah pohon ini.
Secara amnya, semua parti memainkan peranan penting cuma bagaimana kelangsungan untuk berada bersama, itu sahaja. Pas ada peranan, Bersatu walaupun parti kecil tetapi ada Perdana Menteri, juga ada peranan. UMNO partinya besar, ramai ahli Parlimen, struktur parti juga besar, pun ada peranan.
Mahdzir ketika diwawancara Sinar Ahad di Bangsar, Kuala Lumpur.
Mahdzir ketika diwawancara Sinar Ahad di Bangsar, Kuala Lumpur.
Perkara utama menentukan kelangsungan kerajaan PN adalah isu pembahagian kerusi pilihan raya antara parti-parti. Apa respons Datuk Seri?
Beginilah, kalau bergerak sendiri, UMNO akan bertanding semua kerusi, UMNO bertanding, Pas dan Bersatu bertanding, PH bertanding. Kalau pergi secara double, berunding kerusi dengan Pas, tetapi kalau pergi triple, kita berunding berapa kerusi Bersatu, Pas dan berapa kerusi BN.
Asas kepada pemberian kerusi mesti berasaskan kepada Tier 1, apa dia Tier 1? Tier 1 ialah kerusi yang dimenangi pada tahun 2018. UMNO menang 55 kerusi, Pas 18 kerusi, Bersatu 13 kerusi. Kemudian ahli Parlimen UMNO lompat masuk ke Bersatu lebih kurang dalam 15 kerusi.
Pokok pangkalnya nanti, yang lari itu nak kira masuk Bersatu atau masuk UMNO? Sudah tentu UMNO sebagai parti yang menang di tempat itu UMNO melihat itu adalah tapaknya. Kami mahu kerusi tersebut.
Kita tahu PRU15 semakin hampir, adakah Datuk Seri yakin segala kemelut politik yang berlaku akan dapat diselesaikan?
Pilihan raya ini ada kaitan dengan pendulum. Pendulum ini adalah lonjakan jam dari ke kiri ia pergi ke kanan.
Pada 2018 pendulumnya adalah menolak BN. Pendulum duduk tengah-tengah tetapi tujuh bulan terakhir sebelum pilihan raya, pendulum itu tidak lagi menyebelahi BN. Sebab ada ‘mind setting’ rakyat bahawa BN tidak betul seperti ada sesuatu yang tidak kena.
Perlahan-lahan dari bandar kemudian merebak ke pinggir bandar, pergi ke kawasan luar bandar dan terakhir ke kawasan pedalaman.
Jadi pendulum itu sekarang kembali di tengah. Pendulum itu ada kecenderungan untuk kembali kepada BN tetapi kepimpinan BN mesti mempunyai satu ramuan yang baik untuk dihidangkan kepada masyarakat, bukan untuk ahli BN sahaja, bukan untuk ahli UMNO sahaja tetapi untuk rakyat di luar sana.
Anekdot
‘Saya ahli politik marhaen’
Saya ialah ahli politik proletariat. Ada dua golongan ahli politik, satu dipanggil ahli politik yang datang daripada borjuis, elitis atau bangsawan. Satu lagi ahli politik yang datang daripada kumpulan proletariat iaitu kumpulan marhaen.
Jadi dalam kluster ahli politik ini ada bangsawan, ada marhaen. Setakat ini, marhaen tidak pernah menang dengan borjuis.
Dari Pakistan ke Jepun, jarang-jarang marhaen menang dalam dunia politik. Jokowi mungkin salah seorang ahli politik marhaen yang menjadi Presiden Indonesia, beliau anak seorang tukang kayu. Perdana Menteri India, Narendra Modi, yang datang dari Gujerat pula ialah anak penjual teh tarik.
Yang lain saya tidak nampak. Di Singapura, perdana menterinya merupakan anak bekas perdana menteri. Kalau di Bangladesh ada dua wanita sahaja iaitu Sheikh Hasina dan Khaleda Zia.
Maksud saya, bukan kita menentang elitis, borjuis tetapi maknanya persaingan ahli politik ini wujud tidak kira dalam parti mana. Saya tidak kata dalam UMNO sahaja, parti sebelah sana juga ada. Contohnya DAP, ada Lim Guan Eng anak Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim ada anaknya, Nurul Izzah dan Mukhriz ialah anak Tun Dr Mahathir Mohamad.
Di persada politik, saya datang daripada kumpulan bawahan, marhaen. Bukan cemburu, cuma kita mahu katakan majoriti ahli politik adalah daripada proletariat, tetapi kita menyokong siapa sahaja yang betul dan mendokong semangat perjuangan untuk membela negara bangsa.
Ikut jejak dua sifu yang penyabar
Saya mungkin dilihat kurang lantang menyuarakan pendapat. Saya datang daripada dua orang sifu dalam karier politik saya. Yang pertama, saya bekerja dengan Tan Sri Osman Aroff, bekas Menteri Besar Kedah. Kedua, saya bekerja dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika beliau Timbalan Perdana Menteri.
Saya merupakan setiausaha politik, sebelum itu saya menjadi pegawai khas kepada Menteri Besar naik menjadi setiausaha politik Timbalan Perdana Menteri dan Setiausaha Perdana Menteri kemudian barulah saya masuk ke dalam dunia politik jadi Menteri Besar, jadi Timbalan Menteri.
Saya datang daripada dua karakter yang tidak mahu berkelahi dengan orang. Saya dengan Tan Sri Osman, empat tahun, dengan Tun Abdullah, lima tahun, jadi maknanya saya ada lebih kurang sembilan tahun. Jadi watak-watak ini mendidik saya. Itu yang, kadang-kadang saya tanya dalam diri, ‘aku ni buat kenyataan nak berkelahi dengan orang ke tak mahu kelahi dengan orang’.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/126070/BERITA/Wawancara/Solidariti-elak-UMNO-berpecah
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
Sumber : sinarharian.com.my