Sempat pegang tangan adik sebelum dipukul ombak - Kakak — MYKMU.NET

Sempat pegang tangan adik sebelum dipukul ombak – Kakak



Sebaran :

Gambar Hiasan

KUANTAN: Mangsa terselamat dalam tragedi lemas di Pantai Sungai Ular, Fitrah Dhia Zulaikha Zaidi sempat memegang tangan adiknya Fitrah Dhia Zahraa’, 9, sebelum terlepas akibat dipukul ombak.

Remaja berusia 13 tahun yang hampir tenggelam dalam kejadian petang tadi itu berkata dia hanya melihat adiknya semakin jauh dibawa ombak sebelum tubuhnya ditarik oleh lelaki yang menaiki bot.

“Sebelum itu, adik berlari ke laut bersama rakan lain tanpa menunggu saya… tiba-tiba saya lihat adik terkapai-kapai dan semakin tenggelam menyebabkan saya terus berlari masuk ke laut untuk menyelamatkan dia,” katanya di lokasi kejadian, di sini, pada Sabtu.



Fitriah Dhia Zulaikha sebelum itu telah berjanji dengan jirannya Nor Najuwa Mohd Ariffin, 13, untuk mandi di pantai dan mereka berjalan kaki ke pantai yang terletak kurang 200 meter dari rumah sekitar 5.30 petang.

Dalam kejadian itu, Nor Najuwa turut ditemukan lemas manakala adiknya Mohd Fazrul Hakimi, 11, dilaporkan masih hilang.

Mayat kedua-dua mangsa ditemukan sekitar 6 petang tadi.

Sementara itu, bapa kepada Fitrah Dhia Zahraa’, Zaidi Mukhtar, 38, yang juga anggota tentera laut berkata mangsa adalah anak kedua daripada empat beradik kerap meminta izin untuk mandi di pantai itu sejak beberapa hari lepas.



Zaidi tidak membenarkan anak-anaknya ke pantai tanpa pengawasan orang dewasa dan biasanya gemar membawa mereka ke kolam renang di sebuah chalet berhampiran kerana lebih selamat.

“Bagaimanapun, disebabkan anak asyik meminta, saya telah membawa mereka mandi di pantai semalam.

“Namun, anak masih bertanya jika boleh ke pantai sekali lagi hari ini… mungkin dia tidak puas kerana semalam kami turun agak lewat iaitu sudah 6.30 petang.



“Saya masih berada di pejabat semasa menerima panggilan telefon daripada isteri yang hanya menangis sekitar 6 petang.

“Saya tahu ada benda tidak baik berlaku dan terus pulang tanpa bertanya lanjut dan melihat orang sudah ramai di pantai,” katanya.

Zaidi berkata jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chini Timur 1 pada esok.



Bapa kepada Nor Najuwa dan Mohd Fazrul Hakimi, Mohd Ariffin Ismail, 55, berkata walaupun tinggal berhampiran pantai, anak keempat dan kelimanya jarang berpeluang mandi kerana tidak mengizinkan mereka ke pantai tanpa pengawasan orang dewasa.

“Mereka minta izin untuk mandi hari ini, tapi tidak sangka mereka terlalu seronok dapat ke pantai sehingga tiba terlebih dahulu daripada orang lain.

“Saya cuma berharap Mohd Fazrul Hakimi ditemukan segera,” katanya.



— BERNAMA


Sebaran :


Leave a Reply