MAQIS P.Pinang rampas dua kontena kayu bernilai lebih RM250,000

Sebaran :

27/02/2021 02:29 PM
BUTTERWORTH, 27 Feb — Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas 5,411 unit kayu spesies White Oak Kd Rough Sawn bernilai RM251,845 kerana gagal mematuhi syarat permit impot yang sah, di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), semalam.

Pengarahnya Zarina Ramli berkata dalam pemeriksaan pada 2 petang itu, mendapati dua kontena membawa muatan spesies kayu yang diimport dari Denmark tanpa mematuhi syarat permit impot yang sah dikeluarkan MAQIS.

“Berikutan itu, pihak kami merampas semua dagangan dianggarkan bernilai RM251,845 untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 iaitu kegagalan mengimport tanpa mematuhi syarat permit dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata pihak MAQIS sentiasa menjalankan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi pertanian, ikan dan haiwan yang masuk atau keluar dari negara mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat di negara ini.

Sumber : BERNAMA


Sebaran :

Leave a Reply