Veteran Umno kata Hanya Ku Li layak pimpin perpaduan Melayu

Saya ingin memberi penjelasan dan maklum balas mengenai kritikan terhadap gesaan supaya Pengerusi Majlis Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah segera menganjur rundingan dan mempelawa bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke pangkuan parti itu.

Pandangan saya telah mendapat banyak reaksi yang menyokong namun terdapat juga yang mengkritik dan menyifatkannya sebagai tidak wajar.

Sebagai veteran Umno yang mula menyertai parti keramat Umno ini pada Oktober 1947, saya pernah melalui pelbagai cabaran ketika mengetuai Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pulau Pinang semenjak 1952 dan Ketua Umno Bahagian sejak zaman kepimpinan Tunku Abdul Rahman sehinggalah Umno dibatalkan pendaftarannya pada tahun 1988.

Pengalaman telah mengajar kita merasai betapa susahnya untuk melaksanakan agenda memperkasakan orang Melayu dan bagaimana orang Melayu dan Islam dipandang rendah jika kita berpecah.

Ini kerana selain saya pernah berada dalam barisan kepimpinan Umno, saya pernah juga menjadi pembangkang suatu ketika dulu dengan menyertai barisan kepimpinan Parti Semangat 46 pada tahun 1988 setelah Umno Baru menghalang saya menyertainya (Rujuk Utusan Malaysia 14 April 1988) kemudiannya saya kembali menyertai Umno pada tahun 1996.

Sebagai “orang lama” saya dan veteran Umno yang lain melihat Umno dari “mata burung” iaitu melihat masalah orang Melayu dari segala sudut, memahami masalah dan mempunyai pengalaman menyelesaikan masalah berkaitan isu orang Melayu.

Veteran sokong keputusan MKT UMNO

Kenapa cadang Ku Li pelawa Dr M ke meja rundingan?

Seperti yang saya katakan, sebagai “orang lama” Tengku Razaleigh Hamzah juga melihat Umno dari “mata burung” dan setakat ini beliau adalah wakil rakyat yang paling lama berkhidmat secara berterusan di negara malah di dunia.

Bersesuaianlah dengan jawatan yang disandang sebagai pengerusi Jemaah Penasihat Umno untuk menasihati kepimpinan Umno sekarang dan juga mereka yang telah keluar dari Umno supaya kembali bersatu demi agama, bangsa dan negara.

Kita bukan bercakap soal siapa hendak menjadi perdana menteri dan siapa harus memimpin parti tetapi kita sedang berhadapan dengan kehilangan pengaruh dan kuasa politik akibat perpecahan.

Tengku Razaleigh layak untuk menasihati dan memperbaiki kerosakan yang berlaku kerana beliau adalah antara jurutera dan arkitek pembangunan orang Melayu dan negara ini.

Adalah tidak melampau jika saya katakan Tengku Razaleigh tidak mempunyai sebarang isu kontraversial dan tidak terpalit dengan sebarang skandal rasuah malah kebanyakan veteran Umno yang lain pernah mendapat didikan politik daripada beliau termasuk mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang pernah menjadi pembantu khasnya semasa berkhidmat di Petronas dan semasa menjadi timbalan menterinya.

Beliau diberi kepercayaan oleh perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein untuk membantu merangka sistem ekonomi negara dan membina landasan kemajuan negara dan ketika itu kebanyakan pemimpin Umno sekarang belum lagi memegang sebarang jawatan dalam parti.

Beliau mempunyai pengaruh di kalangan para peniaga kaum Cina dan India di negara ini dan mempunyai hubungan yang baik dengan pihak Istana.

Jadi apakah beliau tidak sesuai untuk dipanggil supaya menjadi “orang tengah” bagi membuka meja rundingan ke arah perpaduan orang Melayu dengan mempelawa Dr Mahathir kembali ke pangkuan Umno?

Rundingan Terus: Guan Eng Goyang, Cuba Alihkan SPRM Agar Siasat BN & PN

 

Kenapa tidak Zahid?

Ada juga yang bertanyakan saya kenapa tidak membuat desakan Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi menganjurkan rundingan memandangkan beliau adalah presiden parti.

Jawapan saya mudah sahaja iaitu Zahid sedang berhadapan dengan pelbagai tuduhan melibatkan kes rasuah dan pengubalan wang haram di Mahkamah Tinggi dan beliau harus fokus untuk menyelesaikan masalahnya.

Sama ada beliau diperangkap, difitnah atau sebaliknya, kita biarkan mahkamah yang tentukan.

Setelah namanya dibersihkan kelak, barulah beliau boleh memberi fokus kepada parti yang mana dalam keadaan yang singkat ini untuk menghadapi pilihan raya, rakyat akan ragu-ragu untuk mengundi Barisan Nasional (BN) jika Presiden Umno sedang menghadapi tuduhan di mahkamah.

Ini kerana rakyat mungkin tidak mahu mempunyai seorang perdana menteri yang berhadapan dengan tuduhan rasuah.

Menyokong Zahid dalam Umno bukanlah bermakna BN akan menang.

Zahid haruslah berjiwa besar, berundur tidak bererti kalah jika mara tidak membawa kemenangan.

Contohilah Datuk Seri Najib Razak yang melepaskan jawatan presidan Umno untuk beliau menyelesaikan kes-kesnya di mahkamah. Kini Najib hanya menjadi penyokong kuat parti Umno dan Barisan Nasional.

Kita harus memilih jalan untuk menang dan rakyat yang mengundi dalam pilihan raya umum kelak bukanlah hanya dari golongan anggota Umno sahaja.

PH janji tiada rundingan terus, bukan BN – Najib

Kenapa bukan Muhyiddin?

Ada juga yang bertanya kepada saya, seharusnya perdana menteri adalah orang yang mempunyai kuasa dan boleh manganjurkan rundingan perpaduan Melayu.

Jawapan saya ialah kita sedang bercakap soal memperkukuhkan politik Melayu dengan Umno adalah sebagai tonggaknya.

Muhyiddin kini menjadi perdana menteri atas sokongan Umno yang mempunyai anggota parti lebih ramai dan kerusi parlimen yang lebih banyak.

Muhyiddin terperangkap dengan beberapa anggota parlimen yang melompat masuk ke dalam parti Bersatu sehingga memaksanya untuk meminda perlembagaan parti itu bagi membuka pintu kepada bukan Melayu yang menjadi parti Bersatu kini bukan lagi parti Melayu.

Beliau sedang menghadapi tekanan dari kiri dan kanan, dari luar dan dalam dan tidak mungkin beliau mampu menjadi orang tengah untuk membuka meja rundingan untuk memperkukuhkan PN menerusi parti-parti Melayu yang lain.

Begitulah juga dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menghadapi tekanan kerana kredibiliti kepimpinannya mula dipertikaikan oleh anggota parti sendiri.

Anwar juga tidak berani untuk bercakap isu perpecahan dan perpaduan orang Melayu dan Islam kerana beliau terperangkap dengan sokongan DAP.

Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang pula hanya mewakili minoriti dan peranan mereka ialah menyokong parti-parti majoriti supaya dapat menumpang kuasa politik dan PAS sendiri sedang bergelut untuk mempertahankan kerusi pada pilihan raya akan datang.

Ini kerana sudah pasti Umno akan menuntut semula kerusi yang pernah dimenangi mereka dan merampas semula Kedah dan Terengganu malah mungkin juga akan berusaha merampas Kelantan.

Pemimpin ibarat air, sifat air hendaklah bersih terlebih dahulu sebelum ia dapat membersihkan tubuh kita. Air yang kotor tidak mungkin dapat membersihkan.

Berbalik kepada kenyataan saya, yang layak untuk membuka meja rundingan bagi perpaduan Melayu dan juga boleh menarik pengundi-pengundi Melayu atas pagar dan khasnya pengundi-pengundi generasi muda yang bilanganya mencecah 30 peratus termasuk juga juga pengundi-pengundi bukan Melayu ialah Tengku Razaleigh.

Insyaallah dengan pendapat dan cadangan saya ini parti Umno akan menjadi parti dominan seperti mana yang di laksanakan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak untuk menubuhkan Barisan Nasional (BN) yang mengandungi 14 buah parti termasuk di Sabah dan Sarawak mengantikan Parti Perikatan pada tahun 1974 setelah Allahyarham Tun Abdul Razak mengambil alih Pimpinan Negara dan juga Pimpinan Umno.

Sejarah telah membuktikan bahawa Barisan Nasional pimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak memenangi pilihan raya pada tahun 1974 dengan cemerlang dan mempunyai majoriti lebih daripada dua pertiga memihak kepada Barisan Nasional.

MOHD YUSSOF LATIFF 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker