Pakar gesa labur dalam pemulihan ekonomi jangka panjang, bukan keuntungan jangka pendek

PETALING JAYA: Dua ahli ekonomi menggesa kerajaan melaburkan wang pakej rangsangan ke dalam usaha pemulihan ekonomi jangka masa panjang, dan berhati-hati dengan terlalu tertumpu pada kesan ekonomi jangka masa pendek.

Berjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, kerajaan perlu mempersiapkan negara untuk keadaan selepas Covid-19 tidak lagi menjadi ancaman, dan Geoffrey Williams dari Universiti Sains Teknologi Malaysia menyeru Putrajaya mengakui ekonomi semasa dalam kedudukan rapuh.

Barjoyai menjangkakan revolusi industri kelima akan menyusuli Covid-19, mengakibatkan lebih ramai rakyat sukar mendapat pekerjaan akibat teknologi.

“Isu semasa dengan ekonomi Malaysia adalah ia masih terlalu bergantung pada modal insan.

“Negara membangun lain beralih untuk fokus pada pembangunan teknologi bagi mengembangkan ekonomi.”

Berjoyai Bardai.

Merujuk cadangan Pakatan Harapan untuk memperuntukkan RM45 bilion bagi pakej rangsangan, beliau menyarankan wang itu dilaburkan dalam projek penyelidikan dan pembangunan serta program latihan semula bagi mempersiapkan rakyat untuk pasaran pekerjaan akan datang.

“Pakej rangsangan baik dan bagus, tetapi tiada kesan segera. Kita perlu yakin dengan kitaran ekonomi,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kejayaan bergantung sama ada Malaysia bersedia untuk mengharungi kesukaran dalam tempoh masa yang lama.

“Melihat ke masa depan adalah penting, tetapi tidak hasil jika tidak mahu bekerja keras untuk mencapainya.”

Williams mengakui ada beberapa berita baik dalam statistik pertumbuhan suku tahunan terakhir, tetapi katanya, kesan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 perlu diambil kira.

Beliau menjangkakan ekonomi akan berdepan titik perubahan pada pertengahan tahun ini, ketika peruntukan rangsangan kerajaan kehabisan, dengan kemungkinan pertumbuhan ekonomi yang rendah dan kemelesetan berlanjutan.

Pada masa itu, katanya, pengguna akan kehabisan wang dan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka berkurangan.

Beliau menganggarkan kos PKP 2.0 adalah RM35 bilion dan ia akan memberi kesan pada anggaran pertumbuhan KDNK kerajaan, antara 4% hingga 5%.

Geoffrey Williams.

“Pakej rangsangan Permai akan tidak banyak beri kesan atau tiada kesan kerana RM15 bilion diperuntukkan semula daripada belanjawan sedia ada untuk 2021.”

Katanya, memandangkan ia disalurkan melalui beberapa skim, ia memerlukan masa untuk melihat kesan luas ekonomi yang diingini.

Williams juga menjangkakan isu struktur teruk akan timbul.

“Ini termasuk ‘lubang hitam’ pencen akibat pengeluaran simpanan KWSP, hutang tertunggak, dan pengangguran berstruktur dengan gaji rendah berterusan.

“Strategi permulaan, peningkatan dan kelangsungan asas bagi syarikat memerlukan campur tangan dari segi dasar.”

Beliau berkata, kesan campur tangan dari segi dasar itu tidak dapat dilihat dalam sekelip mata, dan memberi amaran kepada kerajaan agar tidak segera menyuntik dana dalam senarai projek yang panjang.

Leave a Reply