Rocky Din terkilan Seniman abai kebajikannya sebagai artis veteran

BUTTERWORTH – Setiap kali Pilihan Raya Umum, lagu ‘Undilah’ pasti berkumandang di corong radio, namun siapa sangka penyanyi di sebalik lagu itu kini mengalami kesukaran untuk bergerak selepas diserang angin ahmar sejak Ogos lalu.

Rocky Din atau nama sebenarnya Mohd Hashim Mohd Sharif yang sudah berkecimpung dalam dunia hiburan lebih 50 tahun itu meluahkan rasa terkilan apabila tidak menerima sebarang bantuan mahupun kunjungan daripada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

Beliau yang memiliki kad ahli seumur hidup Seniman itu mendakwa, kebajikan dirinya sebagai artis veteran tidak pernah menerima hak istimewa.



MG-UTARA-23022021_03
Rocky Din menunjukkan anugerah Tokoh Kesenian sempena Sambutan Maal Hijrah anjuran Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) pada 2017.

“Saya diserang strok sehari sebelum menyambut Hari Raya Aidiladha, ketika itu saya terlantar dan mengharapkan bantuan isteri sepenuhnya.

“Ketika itu saya mendapat panggilan daripada Seniman menanyakan khabar tetapi selepas itu tiada sebarang bantuan mahupun kunjungan dibuat sehingga ke hari ini.

 

MG-UTARA-23022021_01
Rocky Din bersama isterinya menunjukkan majalah hiburan mengenai dirinya ketika zaman kegemilangan yang masih disimpan rapi.

“Saya tidak tahu apa alasan mereka tidak datang melawat. Adakalanya saya nasihatkan hati ini pergerakan terhad ketika Peringah Kawalan Pergerakan(PKP) menyebabkan mereka tidak datang tetapi tiada panggilan dibuat membuatkan saya rasa diri sebagai artis veteran ini terabai,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di rumahnya di Teluk Air Tawar di sini semalam.



Bagaimanapun keuzuran seniman itu mendapat perhatian Sukarelawan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) Pulau Pinang apabila tampil menyampaikan sumbangan keperluan harian serta kerusi roda.

MG-UTARA-23022021_04
Mohd Afifi bertanyakan khabar mengenai kesihatan Rocky Din sebelum menyampaikan sumbangan termasuk kerusi roda.

Menurut penyanyi yang popular era 1960-an itu dia memerlukan kerusi roda baharu susulan peralatan sedia ada miliknya tunggu masa untuk tumbang.

 

“Kerusi roda ini tempat saya bergantung sepenuhnya untuk bergerak termasuk ke hospital,” ujarnya yang kini dilihat semakin pulih meskipun percakapannya masih kurang jelas.



Sementara itu, Penyelaras YADIM Pulau Pinang, Mohd Afifi Ruslan berkata, pihaknya tampil membantu selepas mendapat pekhabaran artis veteran berkenaan memerlukan kerusi roda.

“YADIM tampil santuni mereka yang memerlukan tanpa melihat status individu itu. Bagi kes Rocky Din ini kita rasa simpati dengan apa yang menimpa dirinya memandangkan dia memperoleh pendapatan penuh dengan cara menyanyi saja.

“Kita harap dengan bantuan keperluan harian serta kerusi roda itu dapat meringankan beban artis veteran ini,” kata Mohd Afifi. – MG

Keuzuran Penyanyi Lagu “Marilah Mengundi” Rocky Din dapat perhatian Sukarelawan YADIM



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker