DJ Yusuf letak jawatan sebelum dipecat Radio Hit Zarawak selepas persenda guru

 

Stesen radio Hitz Sarawak mengesahkan mereka menerima peletakan jawatan salah seorang penyampai radio mereka susulan kontroversi video mempersenda cara seorang guru wanita di aplikasi TikTok.

Menurut Hitz Sarawak, peletakan jawatan Muhammad Yusuf Shukri atau DJ Yusuf berkuat kuasa semalam selepas siasatan dalaman mengenai perkara itu dijalankan.

“Hitz Sarawak kekal komited bagi memastikan rakyat Malaysia menerima maklumat dan terhibur.

“Susulan siasatan dalaman berkaitan kontroversi baru-baru ini membabitkan salah seorang penyampai radio di stesen ini, kami menerima peletakan jawatannya.

“Peletakan jawatan itu berkuat kuasa 22 Feb,” kata stesen radio terbabit.

Terdahulu, tindakan Yusuf, 29, memuat naik video TikTok guru DidikTV sambil memaparkan reaksinya ketawa berdekah-dekah mencetuskan kemarahan netizen.

Segelintir pihak turut mendesak Hitz Sarawak memecat penyampai berkenaan.

Namun, segelintir lagi meminta Yusuf tidak dipecat sebaliknya menggesa deejay itu memohon maaf secara terbuka.

Susulan itu, Hitz Sarawak memberitahu melalui kenyataan dikeluarkan pada 19 Feb lalu, Yusuf digantung tugas serta-merta.

Selepas dia digantung tugas, Yusuf menerusi video di Instagram TV meminta bantuan secara terbuka supaya dia dapat dihubungkan dengan guru terbabit bagi membolehkannya memohon maaf.

“Perkara pertama adalah saya dengan seikhlas hati memohon maaf kerana mempersenda guru terbabit. Ia langsung tidak lucu dan saya tak boleh menjadikan ini sebagai alasan untuk membenarkan sesuatu sikap buruk.

“Ia satu sikap saya yang amat biadab dan untuk itu saya mahu memohon maaf secara peribadi kepada dia dan keluarganya.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada semua guru-guru yang tersinggung selepas menonton video yang saya hasilkan,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker