Anak seniwati Mariani angkat lagu joget di persada antarabangsa

Rozita Rohaizad melakar sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama yang diundang jayakan International Mother Language Day yang diraikan di Aberdeen Multicultural Center, United Kingdom, Ahad lalu. – Gambar Facebook ROZITA ROHAIZAD

KUALA LUMPUR: Lagu irama joget yang menjadi sebahagian daripada seni tradisonal Melayu kini semakin dilupakan, khususnya dalam kalangan generasi baharu yang lebih gemar kepada muzik berentak seperti hip hop, rock serta K-pop.]

Bagaimanapun, penyanyi/ pelakon Rozita Rohaizad yang juga anak seniwati Allahyarham Mariani Ismail, tidak silu untuk mengetengahkan irama itu di peringkat antarabangsa semasa menyertai International Mother Language Day (Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa) yang diraikan di Aberdeen Multicultural Center, United Kingdom, Ahad lalu.

Rozita turut melakar sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama yang diundang untuk menjayakan festival itu yang dianjurkan sejak 2019.

Sambutan setiap 21 Feb itu diperkenalkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bertujuan mempromosi dan memberi kesedaran tentang kepelbagaian bahasa yang dipertuturkan di seluruh dunia.

Berkongsi detik manis tersebut, artis itu berkata, beliau memilih untuk menyanyikan lagu irama Malaysia bertajuk Joget Malam Pertama untuk diperdengarkan pada sambutan yang dijayakan secara dalam talian Zoom Meeting.



“Saya merakamkan persembahan menyanyi dan menari joget dalam bentuk video dengan memakai ala kebaya, berkain batik serta berlatarbelakangkan kereta lembu bagi memperkenalkan keunikan kebudayaan dan bahasa kita.

“Semasa dijemput, pada mulanya saya tidak tahu yang saya merupakan rakyat Malaysia pertama menjadi peserta acara ini, rasa terkejut tapi dalam masa sama saya gembira dan bersyukur, ” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, antara negara yang turut membuat persembahan pada acara dalam talian itu ialah Slovenia, Poland, Scotland, Colombia, India, Bangladesh, Afrika Selatan, Mexico, Venezuela dan Romania.

Rozita sebelum ini pernah beberapa kali mewakili negara dengan mengadakan persembahan antaranya di National Multicultural Festival Canberra, Malaysia Festival Sydney dan Fuji Television Tokyo.



Beliau yang pernah membintangi drama tv bersiri seperti Tanah Kubur dan Gerak Khas turut berharap agar wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara cepat berakhir bagi memberi peluang kepadanya membuat persembahan di pentas luar negara bersama penari dan pemuzik, sekali gus memartabatkan lagi seni budaya negara di persada antarabangsa. – BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker