PKPD di asrama pekerja, tapak binaan dan kilang sarung tangan di Hilir Perak

 

Satu lagi syarikat pengeluar sarung tangan getah menyaksikan kluster jangkitan Covid-19 di kalangan pekerjanya, mendorong pihak berkuasa untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata asrama pekerja kilang sarung tangan, kilang dan tapak pembinaan Central Medicare, Hilir Perak akan diletakkan di bawah PKPD dari 22 Februari hingga 7 Mac.



“Sehingga 19 Februari 2021, KKM telah melaksanakan sebanyak 1,966 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 185 orang telah dapati positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas hampir 2,808 orang pekerja warganegara serta bukan warganegara yang tinggal di lokaliti ini dan seterusnya untuk mengawal jangkitan dalam komuniti,” tambahnya.

Kluster yang berkaitan dengan pengeluar sarung tangan telah menyumbang pada peningkatan kes pada gelombang ketiga yang bermula akhir tahun lalu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pelaksanaan PKPD di Penjara Taiping dan kuarters kakitangannya akan tamat seperti dijadualkan pada esok.



“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 482 saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 142 kes direkodkan. KKM mengesahkan baki kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan tiada lagi sampel saringan sedang menunggu keputusan,” katanya.

Memperincikan mengenai saringan wajib pekerja warga asing semalam, Ismail Sabri berkata seramai 13,998 warga asing telah menjalani saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu, 52 didapati positif.

“Secara kumulatif, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan 426,923 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 20,752 majikan dan daripada jumlah ini, 7,778 orang telah disahkan positif manakala 419,145 lagi negatif,” katanya.

Mengenai jumlah tangkapan ingkar arahan PKP, Ismail Sabri berkata seramai 493 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard dan daripada jumlah itu 484 individu dikompaun manakala sembilan direman.



“Kesalahan rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran merekodkan kesalahan tertinggi sebanyak 133 kesalahan,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker