‘Mertua Dari Neraka’ Kesayangan Ramai

HAMPIR tiga dekad bergelumang dalam industri hiburan tanah air, pelakon Didie Alias mengakui Takdir Yang Tertulis (TYT) menjadi antara naskhah paling berimpak terhadap suhu kariernya.

Biarpun Che Salmah harus ditangani secara antagonis, watak itu mengeletek hati bahkan diraikan sebagai kesayangan khalayak. Itulah jawapan ringkas rockers seksi Kanta Serigala, Didie Alias tentang si pendendam gila harta, Che Salmah menerusi drama fenomena yang menyita ramai baru-baru ini.

Tidak pernah menyangka TYT mampu menjadi drama kegemaran rakyat Malaysia sehingga sohor kini dalam media sosial hampir setiap hari, pemilik nama lengkap Fadzilah Mohd Ali mengakui mulanya hilang kata-kata menyaksikan penerimaan sebegitu rupa.



Dibenci dek kerakusan dan ketamakan harta, namun tidak keterlaluan sekiranya penulis melabelkan karakter Che Salmah lakonan bekas finalis Dewi Remaja 1990/1991 itu telah menjadi ‘ibu dari neraka’ kesayangan rakyat Malaysia.

TIDAK melenting dengan gelaran negatif seperti nenek Firaun yang dilemparkan kepadanya, wanita yang pernah diberi jolokan Lady Gaga Malaysia itu menganggap perkara tersebut sebagai bukti keberkesanan menjayakan kerja sebagai pelakon.

Fenomena Che Salmah

Berkongsi pengalamannya sebagai Che Salmah, Didie sebenarnya tidak menghafal skrip yang disediakan pengarah, sebaliknya sekadar mengingati beberapa perkataan yang menjadi asas dalam dialog.

“Jujurnya saya memang tak hafal pun semua skrip yang diberikan. Semuanya panjang lebar macam nak beri ceramah hari Jumaat!



“Saya hanya ingat beberapa kata kunci, kemudian saya olah ayat sendiri mengikut kesesuaian babak. Itu yang sampai terkeluar aksi kaki naik sampai kepala pada episod akhir lalu,” katanya kepada POSE baru-baru ini.

Memuji semua pelakon drama tersebut, namun wanita berusia 49 tahun itu paling tertarik dengan mutu lakonan yang dipersembahkan Nazim Othman kerana menzahirkan sisi berbeza.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya bekerja dengan Nad Zainal, Nazim, Alvin Chong, Elvina Mohamad dan Iman Suhana. Mereka sangat bagus dan memberikan 200 peratus usaha untuk watak masing-masing.

“Paling menarik perhatian saya ialah Nazim. Dia telah memberikan satu jiwa baharu untuk drama ini. Sebelum ini dia selalu pegang watak hero romantik ala-ala K-pop tetapi untuk TYT, jiwanya sampai kepada penonton,” kongsinya.



WANITA yang sudah mempunyai seorang cucu itu memberitahu hampir setiap hari dia menerima kecaman daripada penonton drama TYT.

Ratu antagonis

Serasi menatang watak antagonis, Didie memberitahu kesemua itu rezeki dari Tuhan.

Lebih hebat, ada yang menggelarnya sebagai ratu antagonis. Campakkan kejahatan apa pun, pasti diwarnakan Didie sehitam-hitamnya.

“Sebenarnya bukan watak antagonis sahaja tetapi semua karakter pun saya akan berikan sepenuh jiwa. Jika ada yang geram, maknanya lakonan saya berjaya,” tuturnya ringkas.



Isteri kepada bekas pemain bola sepak Negeri Sembilan, Norisham Ismail itu juga berlapang dada dengan semua gelaran yang dilemparkan ke mukanya.

Hampir setiap episod ada sahaja gelaran yang diberikan kepadanya seperti ‘nenek Firaun’, ‘mertua neraka’ dan ‘nenek peanut butter’.

Kesemua gelaran tersebut membuktikan dia berjaya meninggalkan cebisan pahit manis pahit kepada peminat drama Melayu tanah air.

“Sejak memulakan kelana sebagai anak seni sekitar 30 tahun lalu, banyak gelaran lucu yang saya terima seperti Lady Gaga Malaysia tetapi tidak sangka pula TYT telah menambah lagi 1,001 nama baharu.



“Saya anggap semua itu sebagai hiburan tetapi dalam tidak sedar, membuktikan keringat yang saya curahkan untuk TYT membuahkan hasil. Mereka marah tetapi sayang.

“Sekarang nama ‘nenek peanut butter’ sudah melekat. Apabila jumpa peminat dalam kalangan kanak-kanak, mereka akan panggil saya dengan gelaran itu. Mudah kata, seisi keluarga khalayak peminat saya ,” tambahnya.

Seperti biasa amarah khalayak tidak hanya diciapkan dalam status media sosial, dia turut menerima luahan bernada serupa yang dihantar ke peti mesej peribadi.

“Ada yang hantar mesej dengan hanya menulis perkataan, ‘b**i’ dari pagi sampailah ke malam.



“Saya tidak marah sebalik rasa lucu. Tempoh 24 jam dia habis untuk sebut perkataan itu sahaja. Tak tidurkah dia?,” katanya sambil tertawa.

SERASI menatang watak antagonis, Didie memberitahu kesemua itu rezeki dari Tuhan. – MUHAMMAD IQBAL ROSLI

Rugi setengah juta

Di sebalik lelucon Che Salmah, ada kisah yang bergumpal dalam jiwanya mengenangkan kerugian hampir setengah juta akibat ditipu.

Enggan mendedahkan dalang penipuan tersebut, Didie tidak menyangka dia ditikam dari belakang oleh individu yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri.

“Dia pecah amanah, songlap duit syarikat hampir setengah juta. Kalau kerugian setakat seratus atau dua ratus, saya boleh ganti sendiri tetapi ini melibatkan ratusan ribu!

“Lebih menimbulkan kemarahan, orang yang saya kenali hampir empat tahun itu sapu semua duit dan hanya tinggalkan baki RM50 sahaja dalam akaun bank. Kejam tak?

“Saya sudah buat laporan polis dan sekarang semua dalam siasatan. Tunggu sahaja hasil siasatan dan kebenaran akan terbongkar,” getusnya.

Menjadikan kejadian tersebut sebagai pengajaran, ibu kepada enam orang cahaya mata itu serik untuk bekerjasama dengan mana-mana individu yang baru dikenali.

“Saya jenis percayakan orang 100 peratus. Apabila sudah jadi begini, memang sangat kecewa.

“Kepada tuan punya diri, harap awak bertaubat. Mungkin di dunia awak boleh lepaskan diri tetapi tidak di akhirat kelak,” katanya berbaur amaran sebelum mengakhiri perbualan.

KECEWA ditipu, Didie kini serik untuk bekerjasama dengan mana-mana individu yang baru dikenali.  TATARIAS: Azhar Zainal (Instagram: @mrazharzainal)

[VIDEO] Kontroversi ‘Nasi Kangkang Amani’ Undang Kecaman Netizen

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker