Majoriti Ahli MKT UMNO mahu teliti keupayaan parti bertanding sendirian

Sebahagian Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mahu kajian lebih teliti dibuat berhubung keupayaan parti itu bertanding sendirian, bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pendirian itu disuarakan mereka dalam mesyuarat MKT UMNO dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Akademi UMNO dekat Janda Baik, Pahang pada Jumaat lalu.

Sumber berkata, sebahagian besar Ahli MKT UMNO juga mahu parti itu menunggu hasil rundingan agihan kerusi dibuat dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebelum sebarang keputusan memutuskan kerjasama dimuktamadkan.

Katanya, majoriti Ahli MKT yang hadir juga dikatakan tidak menerima hasrat pucuk kepemimpinan supaya mesyuarat itu menolak tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada UMNO, seterusnya memutuskan kerjasama dengan BERSATU.

Sebaliknya sumber berkata, hanya dua Ahli MKT yang bersetuju dengan kehendak pucuk kepemimpinan parti itu berhubung hasrat terbabit, berbanding majoriti ahli lain yang hadir.

“Ramai Ahli MKT yang bersuara, mahukan kajian lebih teliti dibuat terlebih dahulu ke atas keupayaan UMNO menghadapi PRU-15 secara bersendirian dan menunggu keputusan perundingan kerusi dengan BERSATU.

“Susulan pendirian ramai Ahli MKT itu, kepemimpinan parti membuat rumusan Ahli Parlimen UMNO akan kekal berada dalam kerajaan sehingga PRU-15.

“Namun, kepemimpinan parti mengekalkan pendirian berhubung isu jawatan TPM dan hubungan dengan BERSATU sambil menganggap ia tidak perlu dibincangkan lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Namun, tiada sebarang kenyataan media dikeluarkan selepas mesyuarat selama tiga jam itu.

Beberapa media dalam talian melaporkan, pemimpin UMNO memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) pada PRU-15.

Namun, Jabatan Komunikasi Strategik (JKS) Penerangan UMNO, menafikan laporan terbabit.

Jabatan itu menegaskan, sebarang kenyataan berhubung keputusan MKT UMNO adalah tidak sahih, melainkan ia datang daripada kenyataan rasmi parti atau kepemimpinannya.

“Ibu pejabat (UMNO) memandang serius berita yang tular berkaitan keputusan mesyuarat MKT, kelmarin.

“Sebarang laporan, spekulasi dan kenyataan media lain tidak boleh dirujuk sebagai pendirian atau kenyataan rasmi parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.-BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker