Keranamu “Ayahku”
Lima: Seorang polis di Peru ditahan kerana menyamar sebagai doktor selepas menceroboh sebuah hospital untuk melawat bapanya yang positif Covid-19.
Dia dilaporkan menangis ketika melihat bapanya sudah meninggal dunia di katil selepas berjaya menyusup masuk ke wad Covid-19.
Jampier Gaspar Montes kemudian digari kerana menyamar sebagai doktor dengan mengenakan alat pelindung diri (PPE) lengkap.
Media tempatan melaporkan suspek menceroboh Hospital Daniel Alcides Carrion di Huancayo selepas memperdaya petugas kesihatan.
Televisyen Peru merakam aksi bagaimana polis terbabit duduk di jalan selepas menanggalkan PPE berwarna biru dan dikelilingi polis bersenjata.
Kementerian Kesihatan mengesahkan pihaknya sedang menyiasat kemungkinan pembabitan orang dalam yang membenarkan suspek menyusup masuk ke wad Covid-19.
Soal siasat mendapati suspek nekad berbuat demikian selepas kecewa kerana tidak mendapat sebarang perkembangan keadaan bapanya dalam tempoh 48 jam.
Disebabkan itu, suspek menyamar sebagai doktor pemakanan ketika ditanya petugas dan naik ke tingkat enam hospital berkenaan.
Polis berusia 21 tahun berkenaan menangis dan segera meninggalkan wad sebaik mengetahui bapanya sudah meninggal dunia di katil hospital.
Berdasarkan keterangan hospital, ayah Montes dirawat sejak 9 Februari selepas disahkan positif pandemik itu dan menghidap diabetes.
“Bapa suspek dibawa ke kawasan khusus dan menggunakan alat bantuan pernafasan sementara kami menunggu supaya wad rawatan intensif tersedia,” katanya.
Hospital menjelaskan, terdapat 12 pesakit yang dalam proses pemindahan ke Unit Rawatan Intensif (ICU).
Anggota kesihatan yang bertugas berkata, kesihatan bapa suspek sudah merosot sebelum dipindahkan ke ICU.
“Mangsa meninggal dunia selepas alat bantuan pernafasan dicabut,” katanya.
Ketua Polis Roger Arista berkata, dia memahami situasi anak buahnya yang putus asa dan berusaha untuk mengetahui keadaan bapanya.-HM
You must be logged in to post a comment.