Lelaki ceroboh rumah, cuba rogol isteri orang

WANITA menempuh detik cemas apabila hampir diperkosa seorang lelaki yang bertindak menceroboh ke rumahnya di Pongsu Seribu di Kepala Batas petang semalam.

Dalam kejadian 3 petang itu, mangsa berusia 25 tahun berada di biliknya sebelum terdengar bunyi orang berjalan di atas bumbung rumahnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa kemudiannya memeriksa bunyi berkenaan dan terkejut sebaik membuka pintu biliknya apabila melihat kelibat seorang lelaki tidak dikenali berada di hadapannya.

“Lelaki itu terus menarik tangan dan menolak mangsa ke dalam bilik serta memeluknya.



“Mangsa cuba melepaskan diri dengan mengambil botol air dan memukul kepala lelaki terbabit tetapi tidak berjaya sebaliknya suspek bertindak mengoyak baju dan cuba merogolnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorzainy berkata, wanita berkenaan kemudian menjerit sekuat hati meminta pertolongan.

“Kerana ketakutan suspek cuba melarikan diri dan bertembung dengan suami mangsa berusia 32 tahun yang baharu pulang kerja.

“Suami mangsa masuk melalui pintu dapur rumah selepas terdengar jeritan isterinya dan bergelut dengan suspek.



“Dia turut dipukul dengan sebatang kayu sebelum suspek lari meninggalkan kediaman berkenaan,” katanya.

Menurutnya, laporan polis dibuat sejurus kejadian itu dan pemeriksaan di rumah terbabit mendapati suspek mengambil kesempatan dengan masuk melalui bahagian dapur yang mempunyai ruang terbuka antara dinding dapur dan bumbung.

“Siasatan lanjut yang dijalankan juga mendapati rumah mangsa dan suspek adalah jenis berkembar dan hanya dipisahkan oleh dinding bahagian tengah.

“Polis sudah menahan suspek berusia 21 tahun untuk siasatan lanjut dan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap adalah negatif dadah.



“Kes disiasat mengikut Seksyen 455 dan 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker