Kerajaan pandang serius isu lelaki ‘murtadkan’ wanita Islam, kata menteri

PUTRAJAYA: Kerajaan memandang serius video tular yang memaparkan pengakuan seorang lelaki bukan Muslim bahawa beliau “memurtadkan” seorang wanita warga asing yang beragama Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau difahamkan pihak polis telah memulakan siasatan.

Beliau juga meminta orang ramai memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.



Zulkifli menegaskan kedudukan Islam sebagai agama rasmi terjamin di bawah Perkara 3 perlembagaan persekutuan.

“Perkara 11 perlembagaan persekutuan mengiktiraf hak dan kebebasan beragama penganut agama Islam dan agama lain di Malaysia, termasuklah hak untuk menganuti dan mengamalkannya.

“Bagaimanapun, penyebaran agama selain Islam kepada umat Islam adalah tertakluk kepada Perkara 11(4).

“Ini memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk menggubal undang-undang bagi mengawal penyebaran agama lain kepada orang Islam, termasuk mengekang sebarang cubaan untuk memujuk, membawa atau mengajak orang Islam keluar daripada agama sama ada melalui dakyah, perkahwinan atau apa jua cara sekalipun,” katanya kepada FMT hari ini.



Buka pintu mahkamah syariah

Mengulas lanjut Zulkifli berkata, hampir semua negeri di Malaysia mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam, yang digubal berdasarkan Perkara 11(4) perlembagaan persekutuan.

“Saya difahamkan bahawa Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam bagi Wilayah Persekutuan kini dalam proses akhir penggubalan.



“Ini merupakan antara keutamaan kerajaan dalam memperkasa perundangan syariah di Malaysia,” kata beliau.

Selain itu Zulkifli berkata, kerajaan juga mengambil berat aspek dakwah dan pendidikan dalam menangani isu berkaitan pengukuhan akidah.

“Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui Unit Konsultasi Akidah sentiasa berperanan sebagai hab khidmat nasihat, bimbingan dan istitabah kepada mana-mana umat Islam,” kata beliau.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga menyatakan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri dalam menangani isu seperti ini, tambah beliau.



“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak akan memandang ringan sebarang usaha yang boleh mengeruhkan hubungan antara agama khususnya melibatkan sensitiviti agama di Malaysia,” kata beliau.

Adun PAS Sabah lantik pegawai khas beragama Kristian



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker