Artis jangan buat persembahan maksiat, lucah – Ustazah Asma

Pendakwah bebas terkenal, Ustazah Asma Harun sekali lagi menasihati secara terbuka kepada golongan artis dan selebriti agar lebih bertanggungjawab terhadap masyarakat.

Menerusi perkongsian terbaharu di Instagram, Asma menegur para artis supaya tidak menghidangkan persembahan berunsur maksiat, lucah atau yang boleh menjatuhkan maruah.

“Mohon duhai semua artis tanah air atas tiket apa pun sama ada pelakon, penyanyi, pelawak, pengacara dan lain-lain. Jadilah penghibur yang ada rasa tanggungjawab, tidak menyumbang kepada kerosakan yang sedia parah ini.

“Hentikan persembahan atau pertandingan berunsur maksiat, berunsur lucah dan menjatuhkan maruah.

“Diharapkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, pihak berwajib, Persatuan Seniman dan lain-lain turut boleh memainkan peranan dalam isu begini. Jika tidak dibendung dengan bersungguh, maka normalisasi akan berlaku,” katanya.

Asma membuat teguran tersebut kerana menurutnya dunia hiburan pada ketika ini seakan-akan menormalisasikan maksiat dalam sesuatu persembahan yang dilakukan golongan artis.

“Kemungkaran berlaku secara terangan, dibanggakan, dipromosikan dan diikuti. Bahayanya jika kita dah tak rasa apa-apa, scroll atau dilihat sahaja tanpa rasa.

“Dan apabila ada pihak yang membuat teguran, berlaku situasi pembelaan terhadap pelaku maksiat.

“Lama-lama pelaku semakin berkuasa, pencegah semakin lemah, takut, paling sedih jika berhenti. Kita kuat kerana Allah,” katanya.

Namun dia berharap agar ia tidak dilakukan dengan cara yang boleh melalaikan.

“Iya, kalian diperlukan dalam persada seni, memenuhi fitrah insani, namun bukan dengan cara begini.

“Kasihanilah diri sendiri, kita semua bakal mati, janganlah ditangguh lagi hajat untuk kembali,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Asma pernah melahirkan rasa terkejut apabila menonton video muzik lagu Ayda Jebat berjudul Parah yang dikatakan secara terang-terangan mempamerkan aksi lucah dan memalukan. – MG

Leave a Reply