Keluarga rayu bantuan bawa pulang wanita ‘terkandas’ 20 tahun

SIBU: Keluarga seorang warga emas yang ‘terkandas’ di Sibu sejak 20 tahun lalu selepas diragut memohon bantuan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membawa wanita itu pulang ke tempat asalnya di Labuan.

Keluarga Salmah Adik, 70, memohon bantuan itu kerana buntu dalam usaha mencari jalan untuk membawa warga emas tersebut pulang ketika Sibu masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kami sekeluarga telah berbincang mengenai cara membawa mak cik kami pulang namun semuanya menemui jalan buntu.

“Rancangan pertama ialah menggunakan penerbangan dari Sibu ke Miri tapi dari Miri ke Labuan tidak ada penerbangan pada masa ini,” kata anak saudara wanita itu, Zamain Ma’in kepada Bernama.

Katanya alternatif lain yang difikirkan ialah menggunakan penerbangan dari Sibu ke Kuala Lumpur dan kemudian ke Labuan.

Bagaimanapun, Zamain berkata cara itu memerlukan seseorang untuk mengiringi ibu saudaranya yang sudah tidak mampu berjalan terlalu lama dan ini akan menelan kos lebih tinggi bagi menampung tambang dua individu selain berdepan kemungkinan dikuarantin di Kuala Lumpur sebelum dibenarkan berlepas ke Labuan.

Wanita balik dari Johor ‘super spreader’ COVID-19, jangkiti 37 penghuni rumah panjang

“Kami mengharapkan supaya ada pihak yang prihatin dan dapat membantu dengan memberikan penerbangan ihsan menggunakan helikopter dari Miri ke Labuan,” kata Zamain sambil menambah dokumen pengenalan diri adik arwah ayahnya itu sudah siap dan boleh dituntut di Jabatan Pendaftaran Negara di Labuan.

Katanya Salmah kini tinggal bersama adik angkat wanita itu, Mohd Rubby di Sibu Jaya.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Mohd Rubby di talian 014-3677 730 atau Zamain sendiri di talian 012-8144 369.

Salmah kehilangan kad pengenalan diri dan ketiadaan wang selepas diragut ketika berkunjung ke Sibu kira-kira 20 tahun lepas.

Sepanjang tempoh itu, dia tidak dapat menghubungi keluarganya di Labuan atau di Sabah.

Bagaimanapun, usaha Hospital Sibu dan Jabatan Penerangan Sarawak mengesan waris warga emas tersebut selepas dia dimasukkan ke hospital itu pada 8 Jan berjaya ‘menemukan’ Salmah dengan kaum keluarganya di Labuan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker