i-Sinar: UMNO Lebih Dahulu ‘Berbisik’ Kepada Kerajaan



Sebaran :

SUSULAN keputusan kerajaan untuk menghapuskan syarat dalam pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi i-Sinar, ramai pihak dilihat cuba menumpang kejayaan itu.

Bagaimanapun, ramai dikatakan tidak menyedari bahawa UMNO lebih kehadapan dalam membawa isu tersebut.

Selain daripada dimulakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan disusuli dengan sokongan pemimpin tertinggi UMNO, tindakan itu turut dilakukan dalam Kementerian Kewangan itu sendiri.



Malah, pengeluaran itu yang dahulu dicadangkan secara ‘lump-sum’ pernah disuarakan melalui wakil UMNO dalam Kabinet iaitu Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah.

“Kami Pemuda UMNO memanfaatkan semua saluran yang ada samaada secara terbuka melalui media sosial, yang Alhamdulillah turut mendapat perhatian.

“Bukan sahaja media massa perdana dan pihak kerajaan sendiri, juga secara tertutup atau istilah segelintir pihak pendekatan ‘berbisik’ kepada menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri berkenaan.



“Ramai mungkin tidak menyedari Mohd. Shahar antara sosok yang banyak memainkan peranan menyampaikan suara hati dan denyut nadi rakyat bagi pihak Pemuda UMNO di dalam kerajaan melalui Kementerian Kewangan sejak dari awal perjuangan Pemuda UMNO untuk pelbagai isu rakyat termasuk KWSP dan moratorium.”

Demikian kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO (PPUM), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan hari ini memberitahu menyerahkan kompilasi 198 muka surat suara rakyat mengenai isu-isu berbangkit dalam pengeluaran KWSP i-Sinar tanpa syarat dan Moratorium.

Menurutnya, kompilasi tersebut dikumpulkan oleh Sekretariat Suara Rakyat Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia melalui talian Hotline Pemuda dan komentar-komentar di Facebooknya dan PPUM.



Kemudian, kompilasi itu diserahkan kepada Mohd. Shahar yang juga merupakan Ketua Penerangan Pemuda UMNO.

Terdahulu, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan bersedia untuk memansuhkan syarat-syarat bagi pengeluaran i-Sinar Kategori 2.

Walau bagaimanapun, Asyraf Wajdi menegaskan, paling penting adalah kemaslahatan rakyat yang diketengahkan dan akhirnya suara itu didengari kerajaan.



“Apa yang mustahak, suara hati dan segala permasalahan rakyat dapat didengar, diangkat dan diambil kira oleh kerajaan dan pihak wewenang untuk diambil tindakan sewajarnya dalam suasana pandemik yang begitu menekan dan meresahkan rakyat ketika ini,” tegasnya. – SM


Sebaran :


Leave a Reply