Anwar tidak sokong saya, malah mengaku budaknya jahat dan susah nak kawal – Mahathir

 

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengimbau pergeseran yang pernah timbul dalam Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi kerajaan dahulu, berkenaan peralihan kuasa perdana menteri antara dirinya dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Sering diasak oleh PKR agar menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar, sebaliknya kata Mahathir, jika Anwar datang bertemunya, ahli parlimen Port Dickson itu selalu menyalahkan sikap anak buahnya yang sukar diakwal.

“Anwar bila dia keluar (daripada penjara), sepatutnya, dia sokonglah tindakan saya. Tapi dia lebih usaha jumpa dengan raja-raja, semuanya tak nampak seolah-olah (dia) menyokong saya. Itu pun (saya) tidak peduli.

“Dia datang jumpa saya. Kalau jumpa saya, selalu sokong saya, cukup kuat. Tapi dia kata, budak-budak dia ini jahat. Dia tak boleh nak kawal. Itu alasan dia.

“Tak apalah, saya tak khuatir tentang nak letak jawatan. Beberapa kali dah saya letak jawatan. Saya bukan berpegang kepada (jawatan) perdana menteri itu sampai mati.

“Saya nak letak jawatan, tapi tunggulah sat (kejap),” katanya ketika diwawancara tokoh wartawan, Johan Jaaffar dalam wawancara anjuran Sinar Harian yang disiarkan secara langsung.

Mahathir : Saya atur pengampunan Anwar, tapi dia “tikam belakang” saya

 

Mahathir disoal kemungkinan peralihan kuasa yang “cantik” sekiranya Mahathir menyerahkan jawatan itu kepada Anwar seperti diminta, yang mungkin dapat mengelakkan keretakan yang berlaku dalam PH ketika itu.

Turut disoal Johan selepas itu, tentang apakah mungkin ada anak buahnya yang bersikap “jahat” terhadap Anwar, jawab Mahathir: “Mungkin. Itu saya tak tahulah. Itu bukan saya punya kerja”.

Kata Mahathir, dia memerlukan masa untuk melaksanakan rancangan  mengatasi masalah ekonomi, dasar baru kerajaan, serta pendidikan, yang menurutnya, semua telah dibuat dengan tertib.

“Saya nak kena laksanakan itu. Kalau saya letak jawatan, benda tu tak jadi. Saya tahu. Tapi saya kena bertanggungjawab. Akhirnya saya akan letak jawatan,” katanya.

Isu peralihan kuasa perdana menteri merupakan janji yang mencetuskan konflik terbuka di dalam PH, yang menyebabkan insiden berbalas kenyataan antara penyokong Anwar dalam PKR dan penyokong Mahathir dalam Bersatu ketika itu.

Penyokong Anwar mahu peralihan itu disegerakan, dan menekan Mahathir untuk memberikan tarikh tetap peralihan itu berlaku, namun sebahagian penyokong Mahathir pula mahu ahli parlimen Langkawi itu terus memegang jawatan sehingga habis penggal.

Akhirnya, PH tumbang pada hujung Februari tahun lepas setelah Mahathir meletak jawatan kerana Bersatu menarik diri daripada PH untuk bekerjasama dengan pihak lain, termasuk Umno dan PAS bagi membentuk kerajaan baru.

Anwar Singgung Mahathir, Dahan Yang Rapuh Itu Menikam Kita!

Mengulas mengenai Umno, parti lamanya sebelum menubuhkan Bersatu dan kini, Pejuang, kata Mahathir, dia boleh kembali kepada Umno sekiranya Umno membersihkan elemen negatif dan rasuah, serta kembali kepada dasar awalnya berjuang demi bangsa, negara dan agama.

Ditanya pula mengenai apakah menteri pada zamannya berani membetulkan dirinya sekiranya dia ada membuat kesilapan, kata Mahathir, ketika menjadi perdana menteri BN dahulu, cadangannya juga pernah ditolak oleh kabinet, sehingga dia terpaksa mengubah cadangan berkenaan sehingga dipersetujui oleh ahli kabinet.

“Kalau macam Rafidah (Aziz), berani. Banyak yang berani. Tapi orang tak tahu. Dalam kabinet banyak benda yang saya cadang, tak lulus. Mereka tak bersetuju.

“Jangan fikir dalam kabinet saya tak ada siapa yang bercakap. Kita mesyuarat tiga jam sehari, takkanlah saya seorang yang bercakap tiga jam. Tapi orang lain tak percaya,” jawabnya lagi.

Mahathir menjadi perdana menteri kali pertama pada era BN dari 1981 hingga 2003, dan menjadi perdana menteri kedua pada era PH dari Mei 2018 sebelum meletak jawatan pada 24 Februari 2020.

Dia kini merupakan pengasas parti Pejuang, yang belum berjaya didaftarkan.

Mahathir Khianat Anwar dan Enggan Bersama PH – Saifuddin Nasution

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker