45 minit keluarkan lelaki dari perigi
Machang: Anggota bomba mengambil masa hampir 45 minit bagi menyelamatkan seorang lelaki yang terjun ke dalam perigi di Kampung Hutan Rebana di sini, malam tadi.
Lelaki berusia 43 tahun yang dipercayai mengalami masalah mental dikatakan membakar dirinya sendiri sebelum itu hingga melecur di badan sebelum terjun ke dalam perigi sedalam tiga meter.
Kejadian itu disedari ahli keluarga mangsa sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang Penolong Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.31 malam dan seramai enam anggota bergegas ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa.
“Setibanya di lokasi, mangsa berada di dalam perigi dan bertindak agresif serta enggan memberi kerjasama sebelum kami cuba memujuknya.
“Apabila anggota kami mendekatinya dan cuba untuk menyelamat, dia bertindak melawan dan meronta.
“Selepas 45 minit tugasan menyelamat dibuat termasuk memujuk, mangsa yang dilihat sudah keletihan berjaya dikeluarkan menggunakan tali,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, mangsa yang cedera kemudiannya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.-HM