Adakah Umno berdepan pembatalan pendaftaran di kala ketegangan dengan PPBM?



Sebaran :

Tiga tahun lalu, Pakatan Harapan (PH) cuba membatalkan pendaftaran Umno, dengan membekukan akaunnya dan menyiasat pemimpinnya.

Namun pendaftaran parti yang ditubuhkan pada 1946 itu tidak dibatalkan kerana beberapa pihak yakin ia akan termusnah dengan sendirinya selepas banyak Ahli Parlimen Umno berhijrah ke PPBM bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad pada 2018.

Dua tahun berlalu dan Umno masih bertahan. Malah, parti itu menjadi sebahagian daripada gabungan pemerintah dengan berganding bahu dengan PPBM dan PAS untuk menggantikan PH, langkah yang menyaksikan beberapa pemimpin Umno menjadi menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional.



Namun, tempoh bulan madu Umno dan PPBM bawah pimpinan Muhyiddin Yassin dikatakan telah berakhir dan mereka di ambang perpisahan pada September, selepas hanya enam bulan memegang kuasa. Umno mengugut menarik balik sokongan kepada Muhyiddin, yang dikatakan gagal berkongsi kuasa dengan mereka.

Kini, timbul lagi spekulasi Umno mungkin berdepan pembatalan pendaftaran susulan laporan yang belum dapat disahkan mendakwa parti itu mempunyai akaun bank rahsia yang menerima sumbangan sejak 1988.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Razlan Rafii, bertanya kepada PPBM sama ada terdapat ancaman untuk membatalkan pendaftaran Umno, susulan pendedahan yang menggemparkan itu.



“Mengapa ada beberapa pihak dalam PPBM yang cuba campur tangan dengan meminta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) menyiasat apa yang dikatakan akaun bank rahsia yang tidak diaudit Umno?

“Biarkan JPPM menjalankan tugasnya. (Campur tangan) ini tidak mungkin berlaku tanpa ada perancangan (daripada orang dalam PPBM),” katanya kepada FMT.

Menurutnya, akaun berkenaan dikatakan dibuka pada 1988, ketika Mahathir menjadi presiden parti.



Razlan menggesa ahli Umno yang rapat dengan PPBM dan pemimpin parti itu untuk melindungi Umno.

“Kami membantu PPBM untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan. Mereka harus tahu perkara yang betul untuk dilakukan sekarang,” katanya.

Pelan alternatif Umno

Sumber Umno beritahu FMT mereka pernah mendengar rancangan untuk membatalkan pendaftaran Umno sejak akhir 2020.



“Kami merasakan ada pihak dalam PPBM yang akan melakukan apa sahaja untuk melemahkan kami,” katanya kepada FMT.

Namun, katanya, ahli parti tidak goyah dan sedang merumuskan pelan alternatif untuk memastikan parti itu bertanding PRU-15.

“Kami harus bersedia menghadapi segala kemungkinan,” katanya, dan memberi amaran sebarang langkah untuk membatalkan pendaftaran Umno akan menikam diri sendiri.



Langkah seperti itu mungkin sekali akan menggemparkan orang Melayu, yang akan bersimpati dengan parti tradisional yang dianggap sebagai pembela Melayu luar bandar, katanya.

“Umno ialah jenama. Nama itu dekat pada hati orang Melayu. Mereka tidak akan membiarkan Umno layu dan mati begitu sahaja,” tambahnya.

Sumber itu berkata, sebarang langkah untuk menyekat Umno bakal mengundang lebih banyak sokongan daripada orang Melayu kepada parti itu.



Tambahan, katanya, parti itu masih boleh bertanding bawah panji Barisan Nasional, lambang yang lebih dikenali berbanding PPBM atau PN.

Minggu lalu, dakwaan kewujudan akaun itu dibuat oleh pendakwa raya dalam tuntutan pelucutan hak oleh Putrajaya terhadap Obyu Holdings Sdn Bhd, berkaitan 1MDB-FMT


Sebaran :


Leave a Reply