Langgar SOP: Polis akan siasat Annuar Musa
Polis akan memanggil Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa untuk memberi keterangan mengenai dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, kertas siasatan telah dibuka berhubung kejadian itu.
“Satu laporan mengenai kejadian itu juga telah dibuat di Cheras. Keterangan beliau akan diambil,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu, sekeping gambar yang menunjukkan Annuar bersama enam individu duduk dalam satu majlis jamuan telah tular di media sosial.
Susulan itu, Annuar semalam memuat naik beberapa hantaran di laman Twitter yang dipercayai merujuk kepada gambar tular tersebut.
Annuar berkata, dia cuma duduk sebentar semasa program Pertanian Bandar itu sebelum beredar.