Pecutan akhir calon SPM 2020 dibayangi kegusaran
Hanya tinggal kurang dua minggu menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun hati Nur Amalia Hazirah Mohd Yunus sudah mula berdebar.
Perasaan berdebar calon SPM itu kini bercampur gusar setelah tidak lagi mendapat bimbingan guru secara bersemuka untuk melakukan persiapan pecutan terakhir bagi menghadapi peperiksaan penting itu.
“Saya rasa berdebar sangat-sangat sebab kita sudah tangguh (SPM) banyak kali dan rasa nak putus asa pun ada. Tetapi fikir mak ayah, buat juga.
“Tambah pula tiada guru dan kelas di sekolah dah tamat 9 Feb hari itu dan cuma harapkan jaringan internet yang tak kuat. Itu buatkan lagi saya risau,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Akhirnya, bagi mengurangkan perasaan bimbangnya, Amalia memilih untuk tinggal di asrama.
“Saya sudah lama duduk di asrama dan sudah terbiasa. Lagi pun boleh tanya kawan-kawan kalau tak faham.
“Kurang sikit risau tiada guru,” kata calon SPM 2020 yang bersekolah di SMK (P) Methodist, Klang.
Turut berkongsi kebimbangan sama, Reesika Vijaya yang gusar keputusannya bagi peperiksaan tersebut tidak mencapai sasaran.
“Keputusan jangkaan saya akan terkesan, kerana saya lebih suka belajar dengan guru tetapi sekarang tiada motivasi dari guru dan rakan-rakan,” katanya yang merupakan rakan sekolah Amalia.
Jelas Reesika, dia sering terganggu dan tidak dapat fokus sekiranya belajar di rumah.
“Kadang-kadang di rumah saya ada banyak kerja, kena tolong mak dan rasa malas nak belajar kerana di rumah bukan (senang untuk jaga) disiplin seperti di sekolah yang memang ada jadual tersedia.
“Itu antara yang menggangu sehingga saya tak dapat fokus,” katanya.
Amalia dan Reesika antara pelajar yang sepatutnya menduduki peperiksaan SPM pada tahun lepas namun tertangguh selepas wabak Covid-19 melanda da menyaksikan negara dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyekat aktiviti persekolahan secara bersemuka.
Pada Jan lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan sesi persekolahan bersemuka bagi calon SPM tahun 2020.
Bagaimanapun aktiviti persekolahan yang bermula 20 Jan berakhir pada 9 Feb bagi memberi ruang kepada pelajar untuk membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula.
Ini menjadikan calon SPM tahun 2020 hanya menghadiri persekolahan secara bersemuka selama hampir tiga minggu sahaja, sebelum melakukan persediaan kendiri untuk dua minggu, dan kemudian akan menghadapi peperiksaan.
Selain SPM, persekolahan secara bersemuka turut melibatkan calon Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan peperiksaan setaraf yang lain.
Sementara itu, calon SPM yang bersekolah di SMK Pulau Indah, Klang, Ahmad Amirun Danish Rosli juga mengakui lebih selesa sekiranya dapat bersemuka dengan guru untuk sesi pembelajaran.
Meski tidak menafikan cikgu tetap banyak menolongnya memberi latihan tambahan sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), namun terdapat beberapa kekangan yang dihadapinya termasuk sambungan internetnya yang tidak lancar.
“Jaringan internet saya tak kuat. Kalau dalam Google Meet budak-budak buat bising. Susah nak bertanya kalau tak faham soalan.
“Sebab itu saya lagi suka pergi sekolah tanya kawan-kawan,” katanya.
Rakan sekolah Ahmad Amirun, Siti Rabiatul Adawiyah Yusof juga berdepan kekangan sama.
Dengan keadaan jaringan internet serta ketiadaan komputer riba menyukarkan proses persediaannya bagi menghadapi peperiksaan SPM.
Namun dia menggangap ia satu pengalaman yang membuka mata.
“Seronok belajar dalam talian ni tetapi susah nak faham lah. Saya sebenarnya risau dengan keputusan SPM tetapi akan usaha dua kali ganda lah untuk capai keputusan yang saya nak,” jelasnya.
Manakala, Denish Syameer Abdul Anizal juga akui seronok melalui proses PdPR namun menyatakan masih terdapat ramai yang tiada keperluan untuk belajar dengan cara demikian.
“PdPR ini memang menyeronokkan dan pengalaman baru tetapi kita kena faham masih ada pelajar tak mampu beli kemudahan internet dan telefon untuk belajar demikian.
“Untuk selamanya (belajar dalam talian) saya rasa susah. Kalau sebab Covid-19 kita faham dan cuba untuk usaha belajar juga,” jelasnya. Mk
Kami ‘terumbang-ambing’, tolong batal SPM, rayu pelajar tingkatan 5
You must be logged in to post a comment.