[VIDEO] Fantasi angkasa lepas Song Joong-ki Dalam Space Sweepers Terbitan Netflix

BERLATARKAN masa depan iaitu tahun 2092 menyaksikan manusia menjalani kehidupan di angkasa lepas merupakan garapan menarik yang dipersembahkan dalam filem terbaharu lakonan aktor popular Song Joong-ki berjudul Space Sweepers.

Filem Space Sweepers yang mula menemui penonton menerusi platform Netflix sejak 5 Februari lalu mengisahkan misi sekumpulan kru kapal The Victory yang menjalankan misi mengumpul bangkai kapal angkasa lepas.

Ketika kapal tersebut terlibat dalam insiden pertemuan dengan sebuah robot berupa seorang kanak-kanak bernama Dorothy yang dikenali sebagai senjata pemusnah, mereka akhirnya terlibat dalam perjanjian perniagaan berbahaya demi meneruskan kelangsungan hidup.

Paling mengagumkan, filem arahan sutradara terkenal Jo Sung-hee dengan barisan pelakon hebat lain seperti Kim Tae-ri, Yoo Hae-jin dan Jin Seon-kyu itu merupakan naskhah sains fiksyen pertama Korea Selatan.

Tae-ri memainkan peranan selaku Kapten Jang, bekas kru lanun yang mengumpulkan skuad baharu. Sementara Hae-jin pula menjayakan watak Bubs iaitu robot ceria dan berperwatakan kelakar.

Pelakon serba boleh Jin Seon-kyu pula memegang watak Tiger Park iaitu bekas seorang ketua pengedar dadah yang melarikan diri dari bumi akibat berdepan hukuman mati.

Ketika berpeluang mengikuti sesi temu bual bersama barisan pelakon Space Sweepers menerusi panggilan video baru-baru ini, Joong-ki menyifatkan peluang kembali berlakon bawah arahan Sung-hee sebagai satu hal yang tidak boleh dilepaskan.

Space Sweepers menyaksikan kerjasama kedua mereka selepas kali pertama menerusi naskhah A Werewolf Boy (2012).

“Ketika saya dengar tentang naskhah ini 10 tahun lalu, saya terus dapat bayangkan jalan ceritanya, pasti menarik. Tiada sebab untuk saya menolak daripada kembali bekerja dengan Jung-hee,” ujarnya.

KATA, Joong-ki, paling sukar ialah mereka perlu membina imaginasi sendiri untuk membayangkan kehidupan di angkasa lepas.

Karismatik

Memegang watak sebagai Kim Tae-ho iaitu seorang kapten handalan, aktor berusia 36 tahun itu cukup teruja menjayakan kelainan watak kali ini.

Jika dahulu dia cukup terkenal menerusi watak askar kacak dambaan ramai wanita menerusi Descendants of The Sun, kali ini Joong-ki tampil wajah berdaki dan berlumuran kesan kotoran bagi mewujudkan unsur realistik kehidupan di dalam kapal angkasa lepas.

“Dalam filem ini saya berimej comot. Sebenarnya ketika penggambaran, soal baju merisaukan saya tetapi elemen kotor itulah yang menampilkan karakter sebenar seorang Tae-ho,” katanya.

Cuma Joong-ki sendiri tidak menyangkal bahawa Tae-ho yang menjalani kehidupan dalam trauma masa silam sangat dekat dengan dirinya. Joong-ki sendiri pernah melalui fasa kegagalan dalam hidup iaitu perceraian.

“Awal cerita, Tae-ho digambarkan sebagai seorang lelaki yang hidup dalam kekecewaan kerana kehilangan banyak perkara. Motivasinya hilang dan dia berasa putus asa.

“Sejujurnya saya juga berada dalam situasi serupa seperti Tae-ho. Tetapi perlahan-lahan dia bangkit dan melakukan perubahan dalam hidupnya selepas bertemu dengan kru kapal The Victory,” ujarnya yang sangat menyukai watak Tae-ho.

TERUJA menjayakan watak Tae-ho, Joong-ki menyifatkan peranannya kali ini sebagai seorang lelaki yang cukup berkarisma.

Ditanya tentang pengalamannya menjayakan naskhah fiksyen angkasa lepas, Joong-ki tidak terlepas daripada berdepan banyak cabaran.

Antara perkara paling meresahkan ketika penggambaran ialah cabaran pelakon yang terpaksa menggunakan imaginasi sendiri untuk membayangkan keadaan angkasa lepas.

“Paling susah, kami perlu membina imaginasi sendiri untuk membayangkan kehidupan di angkasa lepas. Kami tidak tahu hasil akhir filem ini bagaimana bentuknya.

“Jadi kami cuma dapat membayangkan situasi yang ada dalam kepala sahaja. Banyak juga babak yang agak sukar untuk dilakukan, contohnya terapung di angkasa lepas kerana menggunakan graviti.

“Tetapi selepas melihat hasil kerja produksi, kami sangat terkejut dan berbangga kerana dapat menghasilkan filem berkualiti sebegitu,” katanya teruja.

GANDINGAN mantap. Selain Joong-ki, Space Sweepers turut menampilkan tiga lagi pelakon kelas A Korea Selatan iaitu (dari kanan) Kim Tae-ri, Jin Seon-kyu dan Yoo Hae-jin.

Cabaran

Sementara itu, Sung-hee pula akhirnya menarik nafas lega apabila filem berkenaan menemui penonton selepas beberapa kali berdepan penangguhan tayangan akibat penularan Covid-19.

Space Sweepers sebenarnya merupakan naskhah yang diusahakan pengarah itu sejak 10 tahun lalu. Idea penghasilan naskhah angkasa lepas tersebut tercetus ketika perbualan kosong bersama rakannya.

“Ketika membikin sebuah filem angkasa lepas, kegusaran utama ialah wujudnya persamaan dengan naskhah Hollywood yang pernah ada dalam pasaran.

“Pasukan kami berusaha keras untuk mencapai kualiti terbaik supaya naskhah ini tidak dibayangi filem Barat. Saya gembira dengan hasil kerja keras semua orang selepas melihat hasil akhirnya,” ujarnya.

Menjelaskan lanjut, pengarah berusia 42 tahun itu mengakui berdepan cabaran tersendiri saat menjalani penggambaran.

“Paling susah adalah ketika mahu menjadikan semua babak dalam filem ini nampak semula jadi. Bahasa Korea menjadi satu faktor utama.

“Cabaran timbul untuk memastikan penonton dapat menghayati jalan cerita tanpa ada rasa janggal kerana kita semua maklum bahawa audiens sudah terbiasa dengan cerita angkasa lepas dalam bahasa Inggeris,” ujarnya yang mengharapkan penonton boleh terhibur dengan naskhah berkenaan biarpun Covid-19 masih bermaharajalela.

Di sebalik kuasa naskhah Korea Selatan tidak kira drama, muzik mahupun filem, naskkah Space Sweepers mencatat kejayaan awal biarpun belum ditayangkan kepada umum.

Tiga minggu sebelum ditayangkan pada 5 Februari lalu, kemunculan filem berkenaan sudah awal-awal lagi meraih perhatian luar biasa peminat sehingga menjadi trending dalam laman sosial.

TIDAK jauh berbeza dengan diri sendiri, Joong-ki menyifatkan pengalaman mendalami watak Tae-ho sebagai cara dia membina semula semangat selepas berdepan kegagalan dalam hidup. – NETFLIX

Leave a Reply