Penunjuk perasaan kembali ke jalanan selepas AS kenakan sekatan

YANGON: Junta Myanmar berdepan tunjuk perasaan tujuh hari berturut-turut hari ini, selepas Washington mengenakan sekatan terhadap pemimpin yang merampas kuasa dan menyingkirkan Aung San Suu Kyi.

Ribuan rakyat menyertai perarakan dan tunjuk perasaan di seluruh negara menggesa tentera menyerahkan semula kuasa dan membebaskan pemimpin awam.

Biarpun demonstrasi berlangsung dalam keadaan aman, pihak berkuasa didakwa melepaskan gas pemedih mata, meriam air dan peluru getah ke arah penunjuk perasaan.



Golongan guru, birokrat dan pegawai kawalan udara antara kakitangan awam yang menggesa junta menyerahkan semula kuasa kepada pemimpin awam, namun pemimpin tentera, Jeneral Min Aung Hlaing mengarahkan kumpulan terbabit supaya segera kembali bertugas.

“Mereka yang mengabaikan tanggungjawab diminta kembali bertugas segera demi kepentingan negara dan rakyat. Jangan terlalu beremosi,” katanya.

Sekatan baharu Amerika Syarikat (AS) menyasarkan Aung Hlaing serta jeneral lain selepas Presiden Joe Biden menghentikan peruntukkan AS$1 bilion (RM4.04 bilion) kepada tentera.

Malah, Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen, berkata tindakan lebih berat akan diambil sekiranya tentera menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.



Kumpulan pemantau bagi tawanan politik (AAPP) memaklumkan seramai 260 individu ditahan sejak rampasan kuasa.

Biarpun media kerajaan mengumumkan pembebasan lebih 23,000 banduan sebagai sebahagian daripada program pengampunan, tiada petunjuk bahawa Suu Kyi antara yang akan dibebaskan. – AFP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker