Pandemik heret pelajar universiti ke kancah ‘sugar baby’
Peningkatan kes Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) menyebabkan lebih ramai pelajar universiti di negara ini terjebak dalam kancah “sugar baby-sugar daddy” bagi memperoleh wang mudah untuk menampung kos sara hidup termasuk yuran pengajian.
Sugarbook, platform temu janji “sugar daddy” terbesar di Asia melaporkan peningkatan 40% pelajar mendaftar untuk menjadi “sugar baby” sejak Januari, dengan menyatakan krisis kewangan dialami golongan terbabit.
Platform itu turut mendedahkan seramai 12,705 pelajar dari 10 institusi pengajian tinggi (IPT) di Lembah Klang termasuk dua universiti awam terjebak dalam kancah “sugar baby”.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sugarbook Darren Chan dalam kenyataan berkata, platform itu membantu meringankan beban pelajar berdepan masalah kewangan, pada masa sama mendedahkan mereka kepada golongan elit berpengaruh yang berpendapatan purata RM150,000.
“Menjelang Valentine’s dalam masa terdekat ini, kebanyakan ‘sugar baby’ mendapat elaun bulanan sehingga RM2,500, ini sangat membantu pelajar universiti yang berdepan situasi sukar,” katanya.
Menerusi laporan Sugarbook, golongan pelajar dan graduan menduduki tangga pertama paling ramai menjadi “sugar baby”, diikuti usahawan, jururawat, guru, peguam, pelayan, pembantu peribadi, jurusolek, model dan ahli farmasi.
Sejak pelaksanaan PKP pada Mac tahun lalu, semua universiti awam dan swasta terpaksa ditutup, dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dalam talian.
Semalam, FMT melaporkan Malaysia menjadi “sarang” kepada 42,500 “sugar daddy”, ketiga paling tinggi di Asia selepas India (338,000) dan Indonesia (60,250), menurut SeekingArrangement laman “Sugar Dating” terbesar dunia.
Senarai itu diikuti Jepun yang mempunyai 32,500 “sugar daddy”, Hong Kong (28,600), Taiwan (27,300), Vietnam (12,000), Korea Selatan (7,000) dan Sri Lanka (5,000).
Ketua Pegawai Eksekutif Seeking Arrangement Brandon Wade berkata, jurang antara orang kaya dan miskin di Asia meningkat dalam dua dekad, mendorong lebih ramai wanita mencari lelaki lebih berusia kerana pelbagai faktor.
Dilaporkan, negara Asia dengan kadar penembusan pendidikan tinggi terbukti lebih terdedah terhadap trend itu, dengan Malaysia mencatat hutang pinjaman tertunggak pelajarnya berjumlah RM39 bilion.-FMT
Scha Elinnea Seksi Tapi Bukan ‘Sugar Baby’
You must be logged in to post a comment.