Scha Elinnea Seksi Tapi Bukan ‘Sugar Baby’

SCHA ELINNEA! Namanya meletup dalam industri hiburan sekitar tahun lalu susulan sering berkongsi imej seksi yang menggetarkan naluri ramai kaum Adam. Di sebalik keterbukaannya, wanita berdarah campuran Melayu-Thai itu bagaimanapun bertegas enggan meleburkan maruah diri menerima ajakan menjadi ‘sugar baby’ lelaki berhidung belang.

Pernah muncul dalam drama bersiri Mr. Grey pada 2019, namanya mula mendapat perhatian selepas membintangi naskhah popular, Perempuan Tanpa Dosa (PTD) tahun lalu.

Baru setahun jagung bergelar pelakon dan hanya menjayakan watak penyendal, ironinya pemilik nama penuh Natasha Mohamed Mubeen, 22, itu sudah meniti di hujung jari netizen, semuanya dek aksi berani mati dalam laman sosial.

Bukan hanya menjadi penghibur mata lelaki, kesempurnaan lekuk tubuhnya barangkali menuai banyak iri buat golongan wanita. Apa pun, itulah kecenderungan si cantik yang mesra dibahasakan Scha itu.

Bersua dengannya, Scha Elinnea mengakui sudah lali malah tidak pernah serik walaupun sering dihambat kecaman dan cerita panas.

TIDAK dahagakan kemewahan ekspres, wanita berusia 22 tahun itu enggan terlibat skandal bersama lelaki berusia, suami orang atau golongan VIP. – MUHAMMAD IQBAL ROSLI

Seksi

Ditanya tentang penampilan seksi yang sering dikongsi untuk tatapan umum, tiada secalit kejutan tergaris di wajahnya.

Tersenyum seraya melepaskan nafas tenang, Scha menjawab, dia tidak berasa canggung bahkan selesa dengan setiap perkongsian yang dilakukan di Instagramnya.

“Saya okey dan selesa walaupun dihujani kecaman daripada netizen yang kurang cerdik akalnya,” katanya ringkas memulakan bicara bersama Pose baru-baru ini.

Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu bagaimanapun mengakui pernah berasa agak tertekan ketika imej seksinya mula menjadi perhatian ramai sekitar tahun lalu.

“Awalnya memang tertekan tetapi lama-kelamaan, jiwa saya sudah kebal dan lali. Saya terima semua nasihat dan doa yang baik-baik tetapi untuk yang terus menghina, saya abaikan.

“Tetapi kalau boleh, orang ramai janganlah terlalu fokus pada isu seksi sahaja, pandanglah pada bakat yang ada,” ujarnya yang kini bernaung bawah syarikat pengurusan, Absolut Management.

Biarkan sudah lali, Scha tetap berasa tercabar dan ‘pantang’ jika ada segelintir netizen mengaitkan kecaman masing-masing dengan didikan ibu bapanya.

Ujar Scha, segala perlakuannya diketahui oleh ibu bapanya dan mereka juga tidak pernah sekalipun mengongkong kehidupannya.

“Mereka mengikuti saya dalam Instagram dan tahu semua perkara yang saya lakukan. Ibu dan ayah tidak mengongkong tetapi mereka sentiasa memantau kehidupan anak-anak. Jika kami buat silap pasti akan ditegur.

“Saya geram apabila orang luar yang berlagak lebih tahu daripada ibu bapa saya sendiri. Kalau boleh jangan babitkan ahli keluarga dalam isu ini. Nak kecam, silakan tetapi kecam saya seorang saja,” ujarnya dengan nada kecewa.

Kongsi Scha, dia juga sering dimarahi netizen yang berfikir imej seksi kelak akan menutup periuk nasinya sebagai pelakon.

“Ada yang nasihatkan supaya berhenti jadi seksi kerana risau saya akan hilang tawaran berlakon. Saya percaya Tuhan yang tentukan rezeki saya. Jika tiada rezeki, saya usahalah lagi,” tuturnya.

SCHA tidak akan berhenti menjadi diri sendiri atau menukar penampilan seksinya semata-mata untuk menutup mulut masyarakat.

‘Sugar baby’

“RM10,000 sebulan? Tidak cukup, saya mampu cari duit sendiri yang jumlahnya lebih daripada ditaja ‘sugar daddy’,” katanya sambil tertawa kecil.

Ayat tersebut terbit daripada mulutnya saat ditanya tentang kesanggupannya menerima tawaran mana-mana lelaki yang ingin membelanya sebagai ‘sugar baby’.

Jelasnya, dia enggan terlibat dengan perkara tidak bermoral tersebut meskipun dihujani tawaran menjadi ‘sugar baby’ oleh lelaki berstatus VIP atau suami orang.

“Memang ada tawaran sebegitu dalam Instagram tetapi saya tak layan. Tidak tergamak untuk melayan dan bercinta dengan lelaki yang sama umur dengan bapa sendiri, geli!

“Saya boleh usaha sendiri untuk dapatkan jumlah yang sama atau mungkin lebih. Saya tidak terdesak dan maruah saya tidak sehina itu untuk buat perkara tersebut,” tegasnya.

Tambahnya lagi, individu yang dahagakan kemewahan ekspres sahaja yang tidak tahan dengan godaan sedemikian.

“Bagi saya itu jalan pintas untuk dapatkan kemewahan ekspres. Tidak akan kekal lama pun jika guna kemewahan orang lain untuk hidup senang.

“Biarlah orang nak kata apa sahaja, sebab penat nak tutup mulut manusia. Kalau sekali sudah salah pada mata masyarakat, selama-lamanya akan terus nampak buruk,” ujarnya.

SCHA mengimpikan gandingan bersama pelakon lelaki kegemarannya, Bront Palarae jika ada rezeki berpihak kepadanya suatu masa kelak.

Perempuan baik-baik

Beralih soal karier, lepasan UiTM Jengka, Pahang itu mengakui semakin dikenali selepas membintangi drama PTD arahan Michael Ang.

“Biarpun hanya bawa watak kecil tetapi impaknya sangat besar.

“Bekerja bawah arahan Michael dan pelakon lain dalam PTD satu pengalaman berharga buat saya sebagai pendatang baharu,” ceritanya teruja.

Berkongsi tentang watak impian, dia tertunggu-tunggu sekiranya ada mana-mana pengarah yang ingin menawarkan karakter protagonis seperti gadis desa buat dirinya.

“Terlalu kerap saya diberi watak antagonis, bermain dengan dendam dan sebagainya. Teringin juga hendak bawa karakter perempuan baik-baik seperti gadis kampung,” katanya yang bakal muncul dengan drama berjudul SiTikTok dan Hatimu Sedingin Salju tidak lama lagi.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker