‘Mahu berjaya lupakan makanan, keluarga’

Kuala Lumpur: “Jangan fikir perkara remeh seperti soal makanan dan berjauhan dengan keluarga.”

Demikian nasihat jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang kepada atlet negara yang berhasrat atau mempunyai peluang berkelana ke luar negara sepertinya.

Azizulhasni yang sudah berpangkalan di Melbourne, Australia sejak 2007 berkata, perkara kecil seperti itu hanya akan membantutkan hasrat seseorang atlet selepas mempunyai peluang terhidang di depan mata untuk meraih pengalaman lebih berharga di luar negara.

“Kalau kita hendak pergi lebih jauh, perlu ada pengorbanan. Lagi besar cita-cita kita, maka perlu lebih besar juga pengorbanan. Saya sendiri terpaksa tinggalkan mak dan ayah, tinggalkan kampung halaman dan rakan-rakan. Saya tinggalkan usia remaja di mana ketika itu rakan sebaya dapat melakukan apa sahaja di Malaysia,” katanya ketika sesi webinar bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), hari ini.

Jelas pelumba yang mendapat gelaran The Pocket Rocketman itu, sebagai atlet mereka perlu sedar bahawa tanggungjawab yang dipikul di bahu jauh lebih besar berbanding memikirkan perkara kecil seperti rindukan makanan Malaysia dan berjauhan dengan keluarga.

“Sebagai atlet kita ada tanggungjawab bukan saja kepada diri sendiri tetapi untuk bangsa dan negara. Bila balik kampung nanti bolehlah guna peluang itu untuk merasai makanan yang kita rindukan. Apa yang saya mahu tekankan ialah perkara-perkara kecil ini perlu diketepikan. Selepas sekian lama berkorban, akhirnya saya memperoleh kejayaan yang dimahukan,” katanya.

Azizulhasni juga menegaskan, untuk bergelar juara dunia sepertinya, seseorang atlet itu perlu mengubah mentaliti mereka.

“Walaupun sudah lama berada di luar negara, saya masih berdarah Melayu dan ikut cara orang Melayu tetapi cara berfikir perlu diubah untuk menjadi atlet bertaraf antarabangsa,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker