Janganlah main tarik tali, bertangguh-tangguh dengan Umno


Saya merujuk kepada penyataan tekad Anuar Musa yang menyatakan dia tidak akan mengalah dengan pendiriannya bahawa Umno perlu bekerjasama dengan semua parti Melayu, sekali pun jika dipecat parti.

Alasan Annuar, kerana dia percaya bahawa hanya dengan bekerjasama dengan semua parti Melayu maka Umno akan menjadi kuat.

Saya ingin menjawab perkara tersebut dari beberapa aspek.

Pertama, tidak wujud sebarang khabar atau ura-ura yang menjurus ke arah niat untuk memecat Annuar. Jadi, mengapa mahu sengaja dibangkitkan tanggapan serta sentimen victim (mangsa) seperti ini?

Ia hanya akan membuka ruang salah faham yang tidak baik, sama ada dari luar mahu pun dalam parti.

Kedua, adalah tidak sihat untuk beliau terus-menerus mengkritik parti secara terbuka seperti sekarang. Ia tidak menguntungkan Umno. Ia melemahkan setiakawan dan – secara sistematik – mengelirukan parti.

Sebagai seorang ahli lama, Annuar mempunyai akses kepada semua kepimpinan parti untuk menyatakan pendirian dan pandangan kritikalnya.

Lebih penting, tindakan mengkritik secara terbuka ini akan hanya memberi kesan kepada moral dan sokongan ahli parti dan masyarakat luar yang sedang memerhati Umno secara rapat.

Ketiga, Umno sudah memutuskan untuk kembali dan menguatkan BN. Pada masa sama, kekuatan politik orang Melayu turut diusahakan bersama-sama PAS dalam Muafakat Nasional.

Ada dah ditolak terang-terangan

Segala kerjasama membentuk kerajaan hanya akan dipertimbangkan setelah pilihan raya dan dibuat bersadarkan mandat dan pilihan rakyat.

Ini keputusan parti dan keputusan bersama. Jadi, Umno bekerja keras untuk menjayakannya. Berjaya atau tidak Umno dalam ikhtiar ini sangat terletak kepada pilihan rakyat.

Semua itu terpulang kepada keyakinan rakyat.

Keputusan Umno untuk tidak bersama Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) adalah kerana kedua-duanya tidak pun diyakini oleh rakyat.

Sebahagian daripada mereka juga sudah ditolak terang-terangan. Ada yang sampai diheret ke mahkamah oleh pengundi di kawasan mereka untuk dilucutkan dari jawatan.

Kemerosotan populariti PN dan keraguan terhadap kemampuannya mentadbir negara menjadikan kerjasama Umno dan PN tidak strategik. Apatah lagi tiada usaha radikal untuk menarik sokongan bukan Melayu.

Jadi, apa motivasi dan alasan kukuh untuk terus mendesak Umno dengan sebegitu rupa?

Keempat, sekali pun Umno sedang mengusahakan penyatuan politik Melayu, hakikatnya Umno sangat sedar bahawa sokongan bukan Melayu turut penting. Tidak ada pihak yang dapat menafikan perkara ini.

Atas dasar ini, Umno yakin BN adalah satu wadah dan platform yang lebih sesuai, inklusif dan bersifat jalan tengah untuk semua. Bukannya PH atau PN.

Kelima, seandainya Umno ini sudah tidak elok dan gagal memahami aspirasi dan perjuangan peribadi Anuar, janganlah bermain tarik tali dan bertangguh-tangguh dengan Umno ini.

Ia hanya mengelirukan orang ramai. Tambahan pula parti ini sedang diperkasakan. Ini usaha yang kritikal dan besar. Jadi, Umno memerlukan semua pihak untuk bersama-sama dalam perjuangannya serta membantu mengukuhkannya.

Bukannya membiarkan Umno diserang-serang, diperkotak-katikkan malah terus-menerus mempertahankan pula lawan dan mereka yang merendah-rendahkan Umno.

Parti ini lebih besar daripada perjuangan dan kepercayaan seorang individu. Umno adalah milik rakyat. Biarlah rakyat yang menentukan masa depan Umno. Mk

Mohamad Khaled Nordin

One thought on “Janganlah main tarik tali, bertangguh-tangguh dengan Umno

  • February 11, 2021 at 05:45
    Permalink

    Saya rasa Annuar Musa lebih pedulikan jawatan dari rakyat, segala kenyataan nya tidak boleh dipakai, elok UMNO kembali menerajui BN, asalkan UMNO benar2 menolak rasuah dan lebih perihatin kpd rakyat, maka tak mustahil BN akan mng PRU 15, ketepikan Annuar Musa, Rakyat dah muak dgn Annuar Musa.

    Reply

Leave a Reply