Warga emas ditinggalkan keluarga di surau


SHAH ALAM: Seorang lelaki warga emas pasrah apabila anggota keluarga meninggalkannya seorang diri di surau dekat Pulau Indah, Klang selepas diajak untuk solat berjemaah.

Difahamkan, selepas tiga hari berada di surau itu, ada individu yang prihatin membawa lelaki malang berusia 68 tahun itu ke surau di Subang sebelum diselamatkan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

LZS dalam hantaran di Facebook menjelaskan, pihaknya segera ke surau berkenaan selepas menerima maklumat nasib seorang lelaki warga emas dilaporkan terpaksa tidur di surau.

LZS berkata, warga emas terbabit ditemui dalam keadaan lapar, keletihan dan mengalami sakit kaki akibat jangkitan kuman.

“Sejurus menerima maklumat mengenai seorang lelaki warga emas tidur di surau, kami segera membantunya memandangkan Selangor adalah negeri tertinggi kes COVID-19 masa ini.

“Tentunya bahaya sekiranya golongan berisiko tinggi tidur di tempat awam,” katanya.

LZS berkata, lelaki berkenaan memaklumkan dia tidak mempunyai zuriat kerana belum pernah berkahwin.

Katanya, beliau sebelum ini tinggal sendirian dan kemudian dijaga anak saudaranya sejak setahun yang lalu.

“Kesihatannya semakin merosot ditambah dengan suasana tidak menentu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ahli keluarga yang menjaganya meninggalkannya di surau berkenaan.

“Pilu hati kami ketika beliau berkongsi cerita bagaimana ditinggalkan di sebuah surau yang mana pada peringkat awal dirinya tidak menyangka akan diperlakukan sedemikian.

“Pujukan ahli keluarga mengajaknya ke surau untuk berjemaah adalah perancangan untuk meninggalkannya di surau berkenaan. Pakaian juga sudah siap diletakkan di dalam beg,” katanya.

Lelaki warga emas yang ditinggalkan di surau kelaparan dan keletihan diberikan makanan. Foto ihsan Lembaga Zakat Selangor
LZS memaklumkan, warga emas itu kini ditempatkan di sebuah rumah kebajikan di Dengkil.

“Alhamdulillah, selepas berunding, warga emas itu bersetuju ditempatkan di sebuah rumah kebajikan di Dengkil dan LZS akan menanggung kos penjagaan dan juga kos rawatannya.

“Terima kasih kepada pengeluar zakat. Kami cuba sedaya upaya untuk menyalurkan zakat anda kepada mereka yang berhak. Sedikit bagi anda, segala-galanya buat mereka,” katanya. BH

Masa susah bersama, masa senang ditinggalkan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker