Amazon dedah reka bentuk ibu pejabat baharu, ramai ‘garu kepala’

Amazon memaklumkan ia dimodelkan daripada DNA helix yang memiliki bentuk sedemikian, sekaligus menjadi inspirasi namanya.

AMAZON telah mendedahkan reka bentuk fasa kedua rancangan ibu pejabat baharunya di Arlington, Virginia.

Bangunan itu bakal memaparkan struktur seni bina yang sangat mengagumkan dipanggil ‘Helix’.

Meskipun reka bentuk itu secara dasarnya boleh dikatakan mirip dengan pusaran pada spesies cangkerang atau biji pain, ramai juga yang berjenaka dengan mengatakan bentuknya pelik kerana menyerupai emoji ‘poop’.

Dibuat daripada kaca dan dihiasi dengan pelbagai jenis pokok dan tumbuhan, Amazon memaklumkan ia dimodelkan daripada helix (struktur berpusar) asid deoksiribonukleik (DNA) yang memiliki bentuk sedemikian, sekali gus menjadi inspirasi namanya.

Selain Helix, dua lagi bangunan setinggi 22 tingkat akan dibina di Virginia yang akan menempatkan 25,000 peluang pekerjaan yang bakal dicetuskan oleh Amazon.

“Kami juga merancang untuk memasukkan elemen alam semulajadi ke dalam landskap bandar dan mewujudkan persekitaran yang unik dan lestari.

“Reka bentuk ini akan mewujudkan ruang terbuka dan aktif yang bertujuan untuk mendekatkan orang ramai dengan alam semulajadi, dalam usaha untuk memupuk inovasi dan kreativiti,” kata gergasi teknologi itu dalam satu kenyataan.

Cadangan pembangunan kompleks baharu itu turut termasuk 2.5 ekar ruang awam yang diserikan arca seni, kawasan padang hijau dan sebuah panggung amfiteater yang menyediakan 250 tempat duduk.

Kawasan plaza terbuka juga ditawarkan kepada umum yang membolehkan penjaja makanan dan pasar tani berjualan, selain ruang peruncitan, kedai dan rstoran di aras bawah.

Leave a Reply