Tommy Thomas jaja rahsia kerajaan untuk lariskan bukunya – Zahid


Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan rasa kesal dengan tindakan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas yang menjaja rahsia kerajaan sebagai pelaris bukunya.

“Saya telah berkesempatan meneliti komen-komen dan buku Tommy Thomas, “My Story: Justice in the Wilderness” (“Memoir”) yang membuat rujukan dan komen terhadap pelbagai isu negara sepanjang penglibatan beliau sebagai Peguam Negara.

“Apa yang perlu dinyatakan di sini adalah tindakan dan perlakuan bekas Peguam Negara ini menulis di dalam buku beliau jelas bertentangan dan melanggar sumpah jawatan sebagai Peguam Negara untuk menjaga dan menyimpan kerahsiaan kerajaan pada setiap masa walaupun jawatan tersebut tidak lagi disandangnya,” katanya.

Menurut beliau, adalah menjadi teras utama di dalam jabatan-jabatan kerajaan apabila sesuatu maklumat yang diperolehi oleh mana-mana pegawai adalah diklasifikasikan sebagai “Rahsia Besar”, “Rahsia” atau “Sulit” tertakluk pada Akta Rahsia Rasmi dan tidak sepatutnya dikongsi kepada umum apatah lagi dijadikan “pelaris” kepada buku yang mengetengahkan pandangannya dan bukan fakta-fakta.

“Pandangan dan kenyataan Tommy Thomas berkenaan peristiwa 13 Mei di dalam Memoir tersebut adalah suatu kenyataan tidak bertanggungjawab dan dibuat tanpa mengira sensitiviti peristiwa tersebut di dalam kalangan masyarakat di negara kita.

“Kenyataan tersebut juga tidak seharusnya diambil kira sebagai fakta sejarah atas sebab tohmahan yang mengaitkan Tun Abdul Razak dengan peristiwa 13 Mei tersebut ternyata hanya pendapat peribadi beliau dan bertujuan untuk merendahkan kredibiliti Tun Abdul Razak yang juga bekas Presiden UMNO,” katanya.

Zahid berkata, ketika negara dibanjiri dengan pelbagai isu yang meresahkan rakyat, komen-komen yang dibuat oleh Tommy Thomas adalah tidak bertanggungjawab.

“Di dalam Memoir tersebut, Tommy Thomas bukan sahaja memperlekehkan Timbalan-Timbalan Pendakwa raya malah keseluruhan Jabatan Peguam Negara yang dia sendiri terajui sebagai Peguam Negara.

“Ini boleh mengundang persepsi negatif masyarakat berkenaan keupayaan dan kebolehan pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara yang berkorban untuk berkhidmat kepada negara.

“Komen bahawa pegawai kerajaan hanya menantikan pangkat, gaji dihujung bulan dan faedah pencen adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab terutamanya apabila ia datang dari Ketua Jabatan di jabatan tersebut iaitu sebagai Peguam Negara,” kata Zahid.

Apa yang lebih membimbangkan, ujar beliau, adalah kenyataan fakta yang ditulis adalah tidak tepat dan lebih kepada dimanipulasi untuk menyemai rasa benci dan fitnah terhadap UMNO/Barisan Nasional, terhadap individu-individu yang dinamakan, pemimpin politik dan jabatan yang pernah diterajuinya dengan tujuan untuk memesong kepercayaan rakyat terhadap organisasi kerajaan secara keseluruhannya.

“Memoir tersebut tersendiri telah menggambarkan Tommy Thomas sebagai seorang individu yang tidak boleh menyimpan rahsia, sukakan pujian dan menginginkan publisiti terhadap dirinya. Malahan, Memoir tersebut juga menyentuh berkenaan keputusan yang dibuat olehnya ketika menjadi Peguam Negara, antaranya termasuklah kes LTTE dan kes Adib.

“Keputusannya dalam kes LTTE, hanyalah berdasarkan kepada tunjuk arah bahawa LTTE sudah tidak aktif dari tahun 2009. LTTE masih sebuah organisasi pengganas dan sebarang usaha untuk mengumpul dana bagi organisasi ini adalah menyalahi Kanun Keseksaan.

“Selain itu, keputusan Tommy untuk tidak menuduh sesiapa di dalam kes Adib juga telah didapati salah oleh Mahkamah Koroner yang menyatakan bahawa kematian Adib telah disebabkan oleh dua orang atau lebih.

Oleh itu saya menyeru agar rakyat tidak terpengaruh kepada penulisan bersifat pandangan oleh Tommy Thomas ini,” ujar Zahid. SM

Leave a Reply