Ujian RT-PCR tidak menguntungkan, kata MMA


Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menjelaskan ujian Covid-19 mahal bukan kerana hendak meraih keuntungan, sebaliknya disebabkan sumber yang diperlukan untuk mengendalikannya seperti makmal, peralatan perlindungan diri (PPE) dan lain-lain.

MMA menjawab komen Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia, yang berkata “ini bukan masanya untuk meraih keuntungan daripada rakyat dengan mengenakan bayaran saringan tinggi,” berhubung kos tinggi untuk ujian Covid-19 di beberapa hospital dan klinik swasta.

Katanya, semua pihak, termasuk sektor kesihatan swasta, harus berusaha melaksanakan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) secara meluas.

Presiden MMA, Dr Subramaniam Muniandy dalam kenyataan berkata, “satu ujian RT-PCR memerlukan bukan saja alat ujian, tetapi juga PPE untuk doktor dan pasukannya, sanitasi dan pembuangan sisa klinikal terancang, selain kos makmal berprestasi tinggi, yang termasuk dalam harga itu”.

“Di samping itu, masa dan sumber tertentu diperlukan sebelum semua hasil ujian dilaporkan, notifikasi kes positif melalui e-pemberitahuan, e-mel, faks atau panggilan dalam tempoh 24 jam mengikut garis panduan dan SOP Kementerian Kesihatan.”

Katanya, menurunkan kos ujian RT-PCR tanpa mengambil kira semua faktor ini adalah tidak wajar.

Sebagai alternatif, beliau mencadangkan kit ujian Antigen Rapid (RTK-Ag) digunakan untuk ujian berskala besar kerana harganya lebih murah, cepat dan dapat menunjukkan tahap jangkitan seseorang.

“Sebagai alat saringan besar-besaran, ujian RT-PCR mempunyai kelemahan dari segi kos tinggi dan masa lebih lama yang diperlukan untuk mengendalikannya. Akibatnya, pengesanan kontak rapat akan berlarutan, sekali gus tidak memenuhi tujuan sebenar saringan dan pengasingan secara besar-besaran.” FMT

Kos ujian RT-PCR sukar diturunkan – APHM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker