Bekas komandan UPNM mengaku tak salah terima suapan RM400,000


Seorang bekas komandan Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM400,000 lima tahun lalu.

Mohamad Adkaa Solahuddin, 64, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima cek Maybank Islamic Berhad bernombor 429139 yang berjumlah RM200,000 milik Too Pro Market, hasil aktiviti haram ke akaun Maybank miliknya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima cek Maybank Islamic Berhad bernombor 589067 yang berjumlah RM200,000 milik SFX Management, iaitu hasil aktiviti haram ke akaun Maybank miliknya.

Berita Harian melaporkan kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Maybank Cawangan Kompleks Dayabumi pada 11 dan 13 Okt 2016.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam dari Ashikin & Co.

Mahkamah menetapkan jaminan RM80,000 mengguna pakai jaminan sedia ada sebelum ini.

Sebutan semula ditetapkan 26 Feb ini untuk dibicarakan serentak bersama kes sebelum ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FMT

Pegawai kanan UPNM, pesara didakwa seleweng RM920,000

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker