Lima calon SPM MRSM Bentong positif Covid-19


Kurang beberapa minggu sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijalankan, lima pelajar tingkatan lima di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong didapati positif Covid-19 selepas ujian saringan dilakukan minggu lepas.

Satu sumber mendedahkan, tiga kakitangan dewan makan MRSM itu turut disahkan positif.

Bagaimanapun, pengurusan MRSM tidak mahu mendedahkan perkara itu, sekali gus mencetuskan kebimbangan pelajar dan ibu bapa.

“Pihak maktab ada memaklumkan kepada pelajar selepas salah seorang didapati positif, namun meminta mereka mendiamkan diri.



“Ujian saringan pula hanya dilakukan kepada mereka yang bergejala sahaja dan tidak dilakukan kepada semua pelajar,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

MRSM Bentong mempunyai 129 calon yang bakal menduduki SPM.

Katanya, saringan yang tidak dilaksanakan kepada semua pelajar berkemungkinan membawa masalah apabila SPM hampir tiba.

“Katakan ada pelajar disahkan positif beberapa hari sebelum SPM atau ketika SPM berjalan, bolehkan mereka terus mengambil SPM?,” soalnya.



Ujar sumber, para ibu bapa melahirkan kegusaran mengenai kesihatan dan persiapan anak-anak mereka menjelang SPM selepas berlaku kes positif Covid-19 di MRSM Bentong.

“Mereka yang positif dikuarantin di asrama bagi mengelakkan tekanan jika dipindahkan ke tempat lain, namun tidak ada pelan konkrit dan penjelasan yang memuaskan hati mengenai keadaan pelajar daripada pihak maktab,” katanya lagi.

Dedahnya, sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) kini dilakukan secara online apabila para pelajar tidak dibenarkan ke kelas.

“Mereka belajar secara online di asrama, di mana talian internet tidak berapa memuaskan sehingga pelajar tertekan, manakala ibu bapa pula tidak tahu bagaimana keadaan anak mereka di sana,” katanya.



Dia difahamkan, MRSM Bentong kini ibarat diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), apabila tiada orang dibenarkan untuk keluar dan masuk kecuali petugas barisan hadapan. K Online

Pelajar SPM MRSM Lipis dikuarantin



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker