Budak lemas dalam tong: Bapa tiri pernah didakwa di mahkamah kes pukul isteri – Polis

AYER KEROH: Suspek lelaki yang juga bapa tiri kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun yang didakwa lemas dalam tong dan dipercayai didera, dalam kejadian tragis minggu lalu, pernah didakwa di mahkamah atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan kepada isterinya.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali ketika diminta mengesahkan perkara itu memaklumkan suspek pernah didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada 8 September tahun lalu.

“Buat masa ini kita masih lagi sedang melengkapkan kertas siasatan dan terdapat beberapa perkara kita perlu teliti lagi.



“Pihak polis sahkan memang suami dia pernah didakwa di mahkamah tahun lalu kerana memukul isterinya yang juga suspek wanita yang kita tahan berkait kes dera ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini pada Khamis.

Terdahulu, suspek lelaki berusia 38 tahun bersama isterinya direman selama tujuh hari sejak Sabtu lalu selepas dipercayai mendera kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu sehingga meninggal dunia dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Jumaat itu, pihak polis menerima panggilan daripada suspek yang juga bapa tiri mangsa memaklumkan anaknya itu lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman mengesahkan terdapat pelbagai kecederaan termasuk luka baru di kesan di bahagian belakang kepala kanak-kanak itu.



Jenazah yang dituntut oleh waris keluarga ibu kandung di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Jasin pada Isnin.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker