Bekas pemain badminton negara sempat kahwin sebelum maut akibat Covid-19

London: Bekas pemain dan jurulatih badminton antarabangsa kelahiran Malaysia, Benny Khaw, 85, meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Kingston di sini, sembilan hari selepas berkahwin dengan pasangannya Julia Cox, 66.

Berita Harian melaporkan, pasangan yang sudah 25 tahun menjalinkan hubungan itu melangsungkan perkahwinan mereka di wad hospital di mana Benny menerima rawatan.

Dengan dua anak tirinya, Eleanor Cox, 34, dan Emma Perham, 38, menjadi saksi, mereka dinikahkan oleh Reverend Susan van Beveren, dalam upacara suka duka mengimbau kehidupan pasangan itu bersama.

Benny atau Khaw Beng Eam, dari Pulau Pinang pernah berada dalam skuad Piala Thomas mewakili Malaysia.

Beliau datang ke England pada 1962 untuk belajar di University of London dan bekerja dengan Jabatan Kastam, di mana sebahagian besar hidupnya dihabiskan sebagai jurulatih permainan yang beliau gemari.

Benny dikejarkan ke Hospital Kingston pada 2 Januari lalu dan didapati positif Covid-19 sebelum meninggal dunia pada 17 Januari lalu.

Julia, yang bekerja di sebuah hospital di Guilford, tidak dijangkiti koronavirus itu kerana sudah menjalani vaksinasi.

Eleanor berkata ibunya dan Benny ada bercakap mengenai perkahwinan tetapi mereka tidak sempat melakukannya.

“Ketika dia masuk ke hospital, kami menyangka ia hanya untuk beberapa hari saja dan ibu pula menyuarakan hasrat mahu berkahwin tetapi kami tidak pasti sama ada Benny akan pulang.

“Justeru, ibu dan Benny membincangkannya,” katanya yang turut dilatih oleh Benny sejak berusia sembilan tahun sehingga menjadi pemain kebangsaan skuad badminton England.

Peraturan ketat ketika perintah berkurung di United Kingdom (UK) bermakna upacara perkahwinan hanya dapat diadakan dalam keadaan tertentu yakni salah satu pasangan tiada lagi harapan untuk hidup atau berada dalam keadaan kritikal.

Dalam tempoh 24 jam, pekerja kesihatan di Kingston Hospital, atas dasar perikemanusiaan, menghias bilik discaj Unit Penilaian Akut dengan belon putih berbaki daripada sambutan Krismas dan selain menyediakan kek perkahwinan.

Pengantin lelaki yang memakai pelitup muka dibawa masuk menggunakan kerusi roda sebelum memimpin tangan tangan pasangannya dan melafazkan ikrar perkahwinan serta menandatangani sijil perkahwinan.

Ketua Jururawat di Unit Penilaian Akut Hospital Kingston, Liz Raderecht, berkata adalah satu penghormatan untuk merancang dan meraikan saat bahagia Benny dan Julia.

“Ini benar-benar mengangkat semangat seluruh pasukan, membuatkan kami mampu melakukan sesuatu seperti ini, ketika tempoh yang penuh kesukaran ini,” katanya.

Pasangan itu, yang bertemu ketika Julia membawa anak perempuannya untuk kelas badminton di Wimbledon Club 25 tahun lalu, disahkan pasangan suami isteri pada jam 11.30 malam.

Emma berkata beliau amat berharap perkahwinan Benny dengan ibunya dapat memberi kekuatan kepadanya untuk melawan Covid-19.

“Namun, Benny menderita radang paru-paru dan memerlukan bekalan oksigen yang tinggi.

“Covid-19 sudah merosakkan paru-parunya, yang Benny sifatkan sebagai kereta api menghentam dadanya,” katanya.

Eleanor pernah dibawa Benny untuk bertemu dengan keluarga Sidek dan pernah berlatih di pusat latihan Misbun Sidek ketika mereka bercuti di Malaysia.

Menurut kenyataan akhbar dari Wimbledon Racquets & Fitness Club, di mana Benny menjadi ahli selama lebih dari 40 tahun, beliau adalah jurulatih utama untuk sesi junior.

Beliau berjaya membimbing beberapa individu sehingga melayakkan diri sebagai jurulatih dan pemain badminton skuad kebangsaan England.

Antaranya ialah Ray Stevens (Juara Kebangsaan Inggeris lima kali), Rajiv Ouseph (pemain perseorangan nombor satu Inggeris dan Juara Eropah) serta Chris Langridge (pemenang pingat gangsa Olimpik).

“Benny akan sentiasa dikenang kerana semangat, inspirasi dan dedikasi terhadap badminton,” kata kenyataan itu.

Benny dan Julia mempunyai tiga anak perempuan dan empat cucu di antara mereka, ini adalah perkahwinan kedua masing-masing-HM

Anak-Anak Sidek balik kampung, warnakan sendiri mural wajah di depan rumah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker