Tergamak pukul kakak hingga lumpuh kerana wang

SIBU: Seorang lelaki disyaki tergamak memukul kakaknya sehingga lumpuh, termasuk dengan menggunakan batang penyapu, kerana berang tidak diberikan wang.

Akibat kejadian kira-kira jam 3 petang 22 Januari lalu di kediaman mereka di Jalan Sungai Antu, di sini, mangsa berusia 49 tahun terkehel tulang belakang menyebabkan saraf tunjangnya tertekan sehingga wanita itu lumpuh dari paras dada ke kaki.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata insiden berlaku apabila suspek berumur 44 tahun disyaki memukul mangsa kerana tidak diberikan wang walaupun sudah beberapa kali mendesak.

“Berikutan itu, mangsa dikatakan berang dan mengambil batang penyapu lalu memukul suspek.

“Suspek didakwa bertindak balas dengan merampas batang penyapu daripada pegangan mangsa dan terus memukul bahagian kepala, badan serta belakang tubuh wanita itu.

“Ia menyebabkan mangsa jatuh terlentang di atas lantai ruang tamu di tingkat atas.

“Bagaimanapun, suspek didakwa terus memukul badan wanita itu beberapa kali sehingga emaknya menjerit supaya berhenti memukul mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sibu dan akan menjalani pembedahan tulang belakang, esok, namun dimaklumkan peratusan untuk sembuh adalah tipis.

“Pada hari kejadian, keluarga dikata enggan membabitkan pihak polis tetapi selepas didesak mangsa, laporan telah dibuat, semalam,” katanya.

Susulan itu, Stanley berkata, suspek ditahan kira-kira jam 2.10 petang semalam dan akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

“Kes akan dirujuk kepada Pegawai Perlindungan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Interim ke atas mangsa,” katanya.-BH

Suami pukul isteri, anak, ugut simbah petrol selepas ditegur bising

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker