Ebit Lew dikecam bantu kaum Bajau Laut peluk Islam


ADA pihak yang tidak senang dengan berita mengenai pendakwah Islam Ebit Lew membantu masyarakat Bajau Laut di Semporna Sabah menjadi muslim dan mengenal Tuhan secara beramai-ramai.

Di Twitter, ada individu yang mendakwa bahawa Ebit menggunakan pendekatan ‘aku beri kau makanan dan kau perlu masuk Islam’.

Dia mempersoalkan nilai pengajaran dan unsur kemanusiaan yang disampaikan oleh Ebit.

“Syabas Ebit! Sistem barter yang terbaik. Mangsa banjir – saya memberikan makanan kepada anda tetapi anda perlu menjadi Islam.

“Apakah nilai pengajaran dan kemanusiaan ini? Pengalaman bermakna, jangan mempercayai mana-mana misionaris atau pendakwa. Layanan tidak beretika dalam perdagangan kepercayaan dan identiti anda,” kata individu terbabit.

Dia bukan satu-satunya yang menuduh kononnya Ebit menjadikan bantuan kemanusiaan untuk menukarkan agama pihak yang dibantu.

Seorang wanita tanpa menyebut nama Ebit berkata, tindakan menukar agama individu dan masyarakat lain melalui bantuan kebajikan adalah tindakan hina.

Dia malah menuduh melalui penjajahan negara lain, mubaligh agama Kristian dari Barat pernah melakukan strategi yang sama.

“Tindakan menukar sekumpulan orang yang berada dalam kesusahan sebagai pertukaran pertolongan adalah hina tanpa mengira penyebar agama. Mubaligh Kristian hina dalam hal ini, seiring dengan misi penjajah,” katanya.

Seorang lagi pengguna Twitter turut mengecam Ebit. Beliau tidak faham bagaimana menolong kaum Bajau Laut menjadi Islam dapat membantu masyarakat tersebut.

Beliau merasakan tindakan Ebit tidak memberikan maklumat dan pendidikan kepada masyarakat berkenaan sebelum membantu mereka menjadi Islam adalah tidak tepat.

“Juga, perkara dengan E*it L*w. Ia meninggalkan rasa tidak sedap pada perasaan saya. Bagaimana menukar agama orang yang memerlukan bantuan mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik? Kerana saya belajar menyembah Tuhan hari ini, saya akan kenyang dan tidur lena di bawah bumbung esok? Tolonglah.

“Tidak kira agama apa itu; Saya tidak merasakan bahawa menukar orang yang tidak diberi maklumat / berpendidikan adalah betul.

“Saya tidak merasakan bahawa menukar orang yang terdesak untuk bertahan adalah betul. Ini tidak adil bagi mereka, walaupun mereka tidak memikirkannya seperti itu,” katanya.

Seorang individu yang merupakan wartawan kontroversi turut melontarkan pandangan secara sinis.

Lelaki tersebut mendakwa apa yang dilakukan oleh Ebit merupakan kaedah yang digunakan oleh kumpulan pendakwa moden.

“ICYMI (sekiranya anda terlepas) pertunjukan evangelisme dan mubaligh moden: Ebit Lew, seorang pendakwah Muslim yang telah disambut sebagai wira selama bertahun-tahun kerana tindak balasnya yang cepat kepada orang miskin, mendedahkan bahawa dia telah menukar beratus-ratus orang gipsi laut asli (termasuk di bawah umur) setelah menghulurkan sedikit bantuan.

“Untuk konteks, di Malaysia, umat Islam bebas berdakwah dan menukarkan agama orang lain, tetapi jelas dilarang dan salah dari segi undang-undang bagi orang lain untuk melakukannya kepada orang Islam,” kata wartawan beragama Islam di Twitter peribadinya.

Sebelum ini Ebit di Facebooknya berkongsi pengalamanya membantu sekumpulan 157 masyarakat Bajau Laut yang tidak mempunyai pegangan apa-apa agama memeluk Islam.

Kumpulan tersebut memeluk Islam selepas bertanya mengenai kewujudan Tuhan kepada pendakwah Islam tersebut yang hadir memberikan bantuan kepada merka.

Semalam Ebit turut berkongsi pengalamannya membantu 490 lagi kaum Bajau Laut di empat perkampungan menjadi muslim ketika menghulurkan bantuan kepada mereka.

“Melihat hidup mereka hidup atas air. Ada atas bot. Hidup atas air sepenuhnya. Sekali-sekala ke darat. Mereka tiada agama. Sampai mereka bertanya tentang tuhan. Kami tidak tahu tentang tuhan.

“Mereka dengan rela hati ingin memeluk Islam. Sayu dengar mereka mengucap syahadah,” kata Ebit Lew.

Ebit yang juga ahli perniagaan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan tanpa menghiraukan pegangan agama atau perilaku kumpulan masyarakat tersebut.

Dia dilaporkan turut memberi bantuan kepada masyarakat bukan Islam, rumah ibadat tanpa mengira agama dan golongan transgander. SM

[VIDEO]”Ramai Tanya Saya, Siapa Tuhan..”- Ustaz Ebit Lew Terharu, 1 Kampung Serentak Ucap Syahadah Depannya.

Related Articles

One Comment

  1. jangan layan orang yg tengah meroyan nie.. islam itu suci dan benar… UEL dah buat yg terbaik… kau bukan nak tolong pun… menghentam je… piiiilah…

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker