Kanak-kanak lemas dalam tong: Jenazah dijangka dikebumi dekat kediaman keluarga kandung


JASIN : Jenazah kanak-kanak malang yang dilaporkan lemas dalam tong dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, Melaka Tengah, Jumaat lalu, akan dituntut dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka pagi ini.

Menurut seorang waris keluarga ibu kandungnya, jenazah kanak-kanak berusia 7 tahun yang dipanggil ‘Adik’ itu akan dibawa pulang ke kediaman keluarga neneknya di Simpang Bekoh, di sini, untuk dikebumikan.

Tinjauan Astro AWANI di kediaman keluarga ibu kandungnya di Taman Kasturi, di sini, bagaimanapun mendapati keadaan sunyi tanpa kehadiran orang ramai atau saudara mara.

Hanya kedengaran alunan ayat-ayat suci Al-Quran dari dalam rumah.

Sementara itu, menurut sumber keluarga angkat kanak-kanak itu, keluarga ibu kandungnya bertegas menyelesaikan urusan pengebumian di kampung ibunya dan tidak membenarkan jenazahnya dibawa pulang ke Rawang, Selangor.

“Tengah malam tadi baru kita dapat kata putus dari keluarga sebelah sana (Jasin), dan mereka bertegas untuk kekal kebumikan di kampung mereka.

“Bagaimanapun, saya tahu Umi (ibu angkat) akan cuba berunding lagi pagi ini untuk bawa jenazah pulang ke kediaman dia dibesarkan di Rawang. Tetapi, jika mereka tetap bertegas kami terpaksa akur,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Hidayah, Chabau, di sini, Rosli ibrahim, memaklumkan sebuah van jenazah dari masjid berkenaan telah bergerak ke Hospital Melaka bagi membantu membawa jenazah untuk dikebumikan.

Ujarnya, liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar yang terletak kira-kira 100 meter dari kediaman keluarga itu juga telah digali tengah hari semalam atas permintaan mereka.

Menurutnya lagi, jenazah dijangka dibawa ke Surau As-Syakirin, Simpang Bekoh, di sini untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan.

Terdahulu, proses bedah siasat mayat kanak-kanak malang itu bermula kira-kira jam 11 pagi Ahad sebelum selesai jam 10 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Mohd Sukri Kaman mengesahkan terdapat pelbagai kecederaan termasuk luka baru dikesan di bahagian belakang kepala kanak-kanak itu. Awani

DAP sedia kerjasama dengan Muhyiddin jika Hamzah, Azmin letak jawatan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker