Atlet negara perlu fokus berlatih hadapi Paralimpik Tokyo

KUALA LUMPUR: Atlet para negara dinasihatkan supaya tidak patah semangat, sebaliknya terus kekal fokus menjalani latihan seperti biasa untuk persiapan menghadapi Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dari 24 Ogos hingga 5 September ini.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Megat Zaharudin mengakui, semangat kebanyakan atlet kini agak merudum disebabkan ketiadaan pertandingan akibat pandemik COVID-19, namun menasihatkan mereka supaya terus fokus menjalani latihan untuk berhadapan ujian sebenar yang menanti mereka di Tokyo nanti.

“Kemerosotan prestasi itu kita boleh lihat apabila tiadanya pertandingan. Namun jadual latihan yang ditetapkan persatuan (sukan masing-masing) serta MSN (Majlis Sukan Negara) dan (barisan) kejurulatihan harus diikuti.

“Dan kita hanya dapat tahu prestasi (sebenar) mereka sekiranya ada pertandingan,” katanya ketika ditemu bual penyampai radio Amar Yusoff menerusi segmen Kawan Luar Biasa: Perkembangan Atlet Para Negara secara dalam talian di Bernama Radio24, Wisma Bernama, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 dan kerajaan Jepun bersetuju meminda tarikh penganjuran Sukan Paralimpik 2020 dari 25 Ogos hingga 6 September 2020 kepada 24 Ogos hingga 5 September 2021 susulan pandemik COVID-19.

Olimpik Tokyo: Kos rasmi selepas ditunda bernilai RM62.54 bilion

Dalam pada itu, Megat Shahriman memaklumkan MPM sentiasa menjalinkan kerjasama bersama MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketengahkan sebagai atlet para memandangkan angka 2,500 yang berjaya digilap ketika ini masih belum mencukupi.

Beliau menjelaskan, Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 5,000 hingga 6,000 atlet baharu bagi memastikan negara tidak ketandusan bakat dalam sukan para pada masa akan datang.

Mengambil contoh beberapa negara seperti China, India dan Amerika Syarikat, Megat Shahriman mendedahkan negara-negara berkenaan sentiasa berusaha untuk melahirkan lebih ramai bakat-bakat baharu sebagai atlet para kerana mereka sedar atlet sedia ada akan bersara pada satu hari nanti.

– BERNAMA

COVID-19: Kes meningkat mendadak, Tokyo di tahap amaran tertinggi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker