PKP 2.0: Jangan terburu-buru baharui lesen memandu, kerajaan bagi pengecualian

Semua kenderaan persendirian sekali lagi diberi pengecualian untuk memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM) dan lesen memandu kompeten (CDL) yang tamat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP), berkuat kuasa 1 Februari hingga 31 Mac ini.

Pengecualian yang sama sebelum ini pernah diberikan ketika pelaksanaan PKP 1.0, bermula 25 Mac hingga 30 September lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, mana-mana pemegang LKM dan CDL yang telah atau bakal tamat tempoh hendaklah memperbaharui lesen masing-masing dalam masa 30 hari selepas tempoh pengecualian diberikan iaitu sehingga 30 April ini.

“Dalam tempoh itu, orang ramai masih boleh memandu kenderaan walaupun LKM atau CDL tamat tempoh namun mereka perlu membawa bersama salinan sijil perlindungan insurans yang masih sah.

“Bermakna mereka perlu menunjukkan dokumen itu kepada penguat kuasa polis sekiranya diminta ketika sekatan jalan raya,” katanya dalam hantaran yang dikongsi dalam Facebook beliau di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Wee berkata, inisiatif itu adalah ekoran keprihatinan kepada rintihan rakyat bagi terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha mengelakkan kesesakan di tempat awam.

“Kita menerima maklum balas orang ramai khususnya melibatkan pemilik kenderaan persendirian mengenai LKM dan CDL mereka yang telah tamat tempoh di sepanjang pelaksanaan PKP di seluruh negara kecuali Sarawak.

“Ini disebabkan oleh perkhidmatan operasi di kaunter-kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak telah dihadkan berikutan pelaksanaan PKP,” jelasnya.

Namun begitu beliau memaklumkan, pengecualian ini tidak diberikan kepada pemilik kenderaan perdagangan dan individu termasuk lesen vokasional (GDL dan PSV) kerana perkhidmatan pembaharuan yang berkaitan mereka dibenarkan di bawah jadual perkhidmatan perlu (essential services).

Pembaharuan untuk kategori itu ujarnya, boleh terus dilakukan di semua kaunter, pejabat JPJ, APAD, LPKP Sabah dan LPKP Sarawak di sepanjang tempoh PKP.

Beliau memberitahu, semua pusat pemeriksaan kenderaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) juga beroperasi bagi tujuan menyediakan perkhidmatan berkaitan pembaharuan ini.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjadi pemandu berhemah dan mematuhi segala SOP yang ditetapkan MKN sepanjang tempoh pelaksanaan PKP,” tambahnya lagi.

Pembaharuan Lesen Memandu Boleh Dibuat Secara Dalam Talian Bermula Hari Ini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker